ADUN Chenor melemang bersama veteran tentera

- Advertisement -

MARAN: ADUN Chenor, Ustaz Mujibur Rahman Ishak telah hadir ke Majlis Melemang dan Ramah Mesra Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Chenor di Bandar Baru Chenor, di sini semalam. 

Majlis yang dimulakan sejak pagi lagi itu telah diisi dengan aktiviti gotong-royong sesama ahli PVATM Chenor bersama keluarga mereka memasak 78 batang lemang dan rendang serta juadah yang lain. 

- Advertisement -

Menurut Setiausahanya, Ujang Shaari Ibrahim, majlis melemang ini adalah kali pertama diadakan oleh pihaknya, bertujuan mengeratkan lagi hubungan sesama ahli, di samping itu dapat mendengar permasalahan ahli-ahlinya. 

“Sebelum ini, setiap tahun kami ada juga buat pertemuan dalam majlis santai-santai seperti acara mengacau bubur asyura bersama. Kali ini kami tambah sedikit lagi program persatuan dengan melemang bersama pula.

“Matlamat kami berkumpul, bertemu mata begini, ialah untuk berbincang masalah yang dihadapi oleh ahli. Di samping itu dapat mengeratkan lagi silaturrahim sesama ahli dan keluarga juga telah tercapai.

“Dengan kehadiran YB (ADUN Chenor) hari ini, kami dapat melaporkan aktiviti-aktiviti yang telah kami adakan sebelum ini termasuk bantuan kepada ahli yang terlibat dengan musibah banjir baru-baru ini. 

“Kepada beliau juga kami sampaikan beberapa permasalahan lain untuk perhatiannya. Saya bagi pihak persatuan, mengucapkan terima kasih kepada YB kerana sudi hadir dan menyampaikan sumbangan untuk aktiviti kami di masa akan datang,” ujarnya. 

Dalam majlis itu juga, Ustaz Mujibur Rahman turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada PVATM. 

“Saya ucapkan terima kasih di atas undangan ini dan berharap PVATM Cawangan Chenor akan lebih aktif lagi menjalankan aktiviti-aktiviti nya di masa akan datang, insya-Allah,” ujarnya. 

Turut juga hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua PVATM Cawangan Chenor, Mohd Ayob Shaari bersama Ahli Jawatankuasanya yang lain. 

PVATM Cawangan Chenor berada di bawah Persatuan Veteran Angkatan Tentera Negeri Pahang dan Jabatan Hal Ehwal Veteran Pahang (JHEVP) di mana setakat ini mempunyai seramai 161 ahli yang berdaftar bersamanya. – HARAKAHDAILY 23/2/2022

- Advertisement -