Surau baik pulih gelanggang takraw, dekati belia

- Advertisement -

LARUT: Inisiatif Surau An-Nuriah, Selama di sini membaik pulih gelanggang sepak takraw dilihat mampu meningkatkan kemudahan dan minat khususnya golongan belia untuk beriadah di kawasan surau.

Pengerusi Surau An-Nuriah, Azhari Saad berkata, inisiatif itu diharap dapat mencapai objektif tersebut apabila golongan belia dilihat lebih dekat dengan surau, sekali gus lebih mudah untuk bersama dan memantau.

- Advertisement -

“Gelanggang ini kita buat, senang untuk kita memantau belia kampung kita khususnya Kampung Kuala Nor ini.

“Sebab sekarang ini, pengaruhnya banyak belia ni kan? Pengaruh dadahnya ada jenayah pun ada. (Jadi) Sambil-sambil beriadah dan bermain, mendekatkan diri dengan surau,” jelasnya.

Menurutnya lagi, golongan belia ketika usia mereka ini perlu diberi lebih perhatian oleh masyarakat dan pelbagai pihak bagi mengelakkan mereka terjebak dengan perkara tidak bermoral yang ada.

“Belia ni kehendak dia berbeza dengan orang dewasa. Jadi belia ni ada benda yang dia hendak tunjuk. Tanpa sokongan daripada kita, mungkin mereka akan diam dan lakukan aktiviti tidak bermoral,” ujarnya.

Dalam pada itu, ADUN Selama, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin berkata, pihaknya menyokong baik usaha surau tersebut dan sedia menghulurkan bantuan untuk menambah baik fasiliti sedia ada.

“Usaha yang baik dan insya-Allah kita akan cuba tambah baik gelanggang daripada segi memasang lampu, pagar dan jaring serta membaik pulih lantai sedia ada,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 22/2/2022

- Advertisement -