Kelantan berusaha lahir belia bermaruah

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kelantan berusaha melahirkan belia bermaruah yang mempunyai ilmu, kemahiran, iman dan penampilan saksiah tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, belia terbabit diharap mampu membangunkan diri, keluarga dan masyarakat.

Katanya, usaha awal itu dilahirkan melalui Generasi Sejahtera (Gentera) di mana mereka mengikuti kelas yang dikenali sebagai Kolej Gentera.

- Advertisement -

“Itu bukan kolej atau universiti, cuma satu bentuk kursus pemantapan belia yang dipilih dari 45 Dun di mana mereka diberi kursus kemahiran dalam beberapa bidang utama.

“Iaitu bidang orator, moderator, seni karikatur dan aktivis kelestarian alam sekitar. Kursus itu berlangsung selama 10 minggu dengan menyedia modul-modul yang sesuai dengan generasi belia,” katanya di sini.

Menurutnya juga peserta Gentera yang berpotensi akan diketengahkan sebagai Adun Belia Kelantan.

Kata beliau Adun Belia bersidang tiga kali setahun, di mana mereka berpeluang mengemukakan pandangan dan cadangan kepada kerajaan negeri termasuk berkaitan pembangunan rohani dan fizikal.

Katanya persidangan Dun Belia juga seperti konsep Kongres di mana ada blok pembangkang dan penyokong kerajaan.

“Sehingga sekarang ia menampakkan kejayaan bagi melahirkan anak muda yang
berketrampilan. Beberapa peserta Dun Belia terpilih sebagai Ahli Parlimen Belia Malaysia dan program felo perdana.

“Kita juga melatih belia terbabit pembangunan usahawan belia yang diadakan secara online dan fizikal.

“Kemudian kita cari vendor-vendor yang berjaya dalam masyarakat untuk membimbing belia terbabit sehingga mampu menjadi teladan dan contoh dalam masyarakat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/2/2022

- Advertisement -