Cari solusi isu kanak-kanak dijaga bukan Islam

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mengajak umat Islam negara ini mencari penyelesaian bagi mengatasi isu kanak-kanak yang sukarela memeluk Islam, namun dipelihara oleh penjaga bukan Islam.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa, berharap kes membabitkan Loh Siew Hong dan tiga anaknya itu dapat dijadikan pengajaran kepada umat Islam.

Katanya, pengajaran itu supaya sebarang tindakan dapat diambil jika anak-anak Siew Hong menukar kembali kepada agama yang dianuti sebelum ini.

“Saya bagi pihak NGO, menyeru semua pihak supaya menjadi kes ini sebagai satu pengajaran, juga kepada penguatkuasa, supaya mewujudkan satu undang-undang yang boleh menjaga dan menjamin hak anak-anak mumaiyiz, yang sukarela peluk islam.

“Undang-Undang itu mungkin boleh menjamin, walaupun ibu mereka bukan Islam, tetapi kita boleh memastikan akidah mereka terjaga dan terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily, semasa hadir memberi sokongan kepada MAIPs, dan Ustazah Nazirah Nanthakumari Abdullah di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Menurut Mohd Zai, cadangan itu mungkin akan menimbulkan pertikaian kepada pihak berkuasa undang-undang dan masyarakat Islam di Malaysia, namun beliau berharap umat Islam dapat melakukan sesuatu bagi mempertahankan hak kanak-kanak ini dan kanak kanak akan datang.

Katanya, hal ini kerana, kanak-kanak yang mumaiyiz, berpelajaran dan berpendidikan mungkin dapat membezakan baik buruk, serta mempunyai kemahuan untuk memeluk Islam, tetapi mereka takut.

Justeru, beliau berharap umat Islam dapat mencari jalan keluar atau solusi yang dapat membantu kanak-kanak yang menghadapi masalah itu.

Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan habeas corpus oleh Loh Siew Hong bagi mendapatkan semula hak penjagaan tiga anaknya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Loh selepas mendengar hujahan daripada peguamnya dan peguam yang hadir mewakili Nazirah Nanthakumari Abdullah. – HARAKAHDAILY 21/2/2022

- Advertisement -