
CANBERRA: Perdana Menteri Australia, Scott Morrison menggesa suatu penyiasatan terperinci dijalankan susulan insiden sebuah kapal tentera laut China yang mengacukan pancaran laser ke atas sebuah pesawat pertahanan Australia.
Dalam kenyataan melalui siaran radio pada Isnin (21 Feb), Morrison berkata, kerajaan negara itu setakat ini belum menerima sebarang penjelasan China berhubung insiden pada Khamis (17 Feb) lalu yang dianggap oleh Canberra sebagai suatu ‘tindakan berbahaya dan melulu’.
Terdahulu, Kementerian Pertahanan Australia dalam kenyataannya pada Sabtu (19) lalu berkata, ketika kejadian, sebuah kapal tentera laut China dalam zon ekonomi eksklusif Australia telah mengarahkan pancaran laser ke arah pesawat tentera Australia yang dalam penerbangan di udara di utara Australia, dan tindakan itu boleh membahayakan nyawa tentera Australia.
“Ia adalah susulan pesawat peronda maritim Australia, P-8A Poseidon berjaya mengesan laser yang dipancarkan dari kapal Tentera Pembebasan Rakyat – Tentera Laut (PLA-N),” ujar Jabatan Pertahanan Australia yang turut menyiarkan gambar dua buah kapal China yang belayar berhampiran pantai utara Australia.
Setakat ini, kedutaan China di Canberra belum mengeluarkan sebarang untuk komen, begitu juga Beijing yang tidak mengulas secara terbuka mengenai insiden itu. – AFP