Mahkamah tidak sentuh isu agama anak Loh

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Tinggi berhubung habeas corpus oleh Loh Siew Hong untuk penjagaan hak tiga anaknya tidak menyentuh isu agama ketiga-tiga kanak-kanak itu.

Peguam mewakili Nazirah Nanthakumari Abdullah, Aidil Khalid, berkata keputusan mahkamah hari ini adalah secara tegas berkenaan isu memulangkan hak penjagaan anak-anak kepada ibu.

Katanya, mahkamah tidak menyentuh isu lain, dan keputusan dibuat oleh mahkamah kerana telah ada keputusan mahkamah tinggi sebelum ini berkenaan dengan hak jagaan Siew Hong.

“Berkenaan isu agama anak dan sebagainya, tidak ada arahan dari mahkamah untuk menukar agama anak-anak itu kepada agama lain selain daripada Islam.

“Hari ini, agama anak-anak itu, seperti mana didaftarkan, kekal seperti itu melainkan perintah seterusnya selepas daripada ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas selesai menghadiri prosiding permohonan yang dibuat Loh Siew Hong, di sini, hari ini.

Dato M Redza Hassan

Sementara itu, peguam mewakili Majlis Agama Islam Perlis (MAIP), Dato M Redza Hassan, berkata pihaknya akur dengan keputusan mahkamah dan akan membuat mesyuarat bersama anak guamnya bagi menasihatkan mengenai langkah ke hadapan dengan lebih terperinci.

“Jangan jadikan perkara ini sentimen, ini hanyalah undang-undang sepertimana yang telah dinyatakan oleh Aidil, mahkamah hanya memberi keputusan terhadap hak jagaan, iaitu habeas corpus sahaja.

“Bukan tentang agama, penukaran agama, tiada langsung perkara seperti berikut yang telah diputuskan oleh mahkamah,” katanya.

Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan habeas corpus oleh Siew Hong bagi mendapatkan semula hak penjagaan tiga anaknya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Loh selepas mendengar hujahan daripada peguamnya dan peguam yang hadir mewakili Nazirah Nanthakumari Abdullah.

Pada 2019, Siew Hong mendapat hak penjagaan sementara tiga anaknya dan hak penjagaan penuh pada Disember tahun lalu.

Siew Hong kemudian membuat laporan polis bagi meminta kepulangan tiga anaknya, yang didakwa ditahan seorang pendakwah wanita dari sebuah NGO mualaf di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Anak-anak Siew Hong berada bawah jagaan JKM sementara menunggu keputusan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi. – HARAKAHDAILY 21/2/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!