Penyelarasan agensi perkhidmatan sosial beri manfaat kepada rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff menyatakan penyelarasan agensi perkhidmatan antara kementerian, agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri adalah sangat penting dan akan memberi manfaat yang besar buat semua kumpulan sasar yang memerlukan.

Menurutnya, dengan itu segala bantuan dapat disalurkan kepada rakyat dengan cepat dan berkesan.

- Advertisement -

Beliau menyatakan demikian menerusi laman Facebooknya susulan sesi libat urus bersama Agensi Sosial Peringkat Persekutuan Dan Negeri ke Pejabat Daerah Kluang, hari ini.

“Alhamdulillah, saya berkesempatan pada hari ini berada di Pejabat Daerah Kluang, Johor bersama para pegawai jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam membina kerjasama yang erat serta membentuk rangka kerjasama erat antara Agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” ujarnya.

Turut bersama beliau dalam sesi diskusi itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Strategik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta wakil-wakil daripada JKM Johor, LPPKN Johor, Jabatan Pembangunan Wanita, Johor Bahru (JPW), Pejabat Daerah Kluang, Jabatan Penjara Kluang, Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalthom, Kluang, PKMD Kluang, MAIJ Kluang serta Khidmat Malaysia bagi membincangkan isu-isu kebajikan rakyat khususnya di daerah Kluang.

Menurutnya lagi, beliau mengambil maklum isu-isu kebajikan yang diketengahkan dan pihak kementerian melalui jabatan dan agensi akan meneliti perkara yang dibangkitkan untuk tindakan sewajarnya.

“Besar harapan saya agar usahasama antara Kementerian dan kerajaan negeri yang dijalinkan ini dapat memberi manfaat buat semua kumpulan sasar KPWKM serta segala bantuan dapat disalurkan kepada rakyat dengan cepat dan berkesan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang. – HARAKAHDAILY 20/2/2022

- Advertisement -