PRN Johor: Rundingan kerusi PN selesai

- Advertisement -

NOR HAZWANI NOH

KOTA TINGGI:
Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa rundingan kerusi dalam kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah selesai.

Menurut Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin komponen parti yang melibatkan Bersatu, PAS dan Gerakan juga sudah mempunyai senarai calon.

Beliau menyatakan demikian Ketika berucap pada Majlis Pelancaran Perikatan Nasional Negeri Johor di padang awam Taman Pasak Indah, di sini malam tadi. Turut berucap ialah Timbalan-timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Senator Dato’ Dr Dominic Lau Hoe Chai.

- Advertisement -

Antara pemimpin yang hadir ialah Pengerusi STAR, Datuk Seri Jeffrey G. Kitingan, Pengerusi SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Pengerusi Bersatu, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari dan Timbalan Setiausaha PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

“Saya nak bagitahu pada hari ini, rundingan kerusi antara parti-parti Perikatan Nasional sudah selesai. Datuk (Seri) Takiyuddin (Hassan) wakil PAS dengan beberapa wakil daripada Bersatu selesai, dan Gerakan settled,” ujarnya yang menyempurnakan majlis pelancaran itu.

Beliau menambah, anggota parti PN tidak pernah bergaduh dalam perundingan itu dan dapat diselesaikan dalam masa seminggu.

“Jadi kita tak pernah gaduh pun. Runding dalam masa seminggu pun dah selesai. 56 kerusi semua parti ada. Tak ada masalah. Senarai calon pun dah sedia dah,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pagoh.

Beliau juga memberitahu senarai calon PN akan dibawa kepada Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Insolvensi Malaysia untuk memastikan mereka bersih.

Menurutnya, seperti yang dilakukan di PRN Melaka, semua calon yang akan dipilih kelak perlu mengangkat sumpah Akujanji Anti-Rasuah dan tidak menyalahgunakan kuasa.

“Saya fikir ini penting, kerana kita nak melihat ada satu iltizam yang betul-betul bersungguh-sungguh. Kita telah diberikan amanah dan kuasa oleh rakyat, bagaimana kita nak mentadbir urus kuasa yang telah diamanahkan kepada kita mesti cara yang betul, yang telus.

“Ikut apa yang dikehendaki oleh agama dan jangan sesekali melakukan sesuatu perbuatan yang salah, bertentangan dengan undang-undang, mencuri, merompak jauh sekali. – HARAKAHDAILY 19/2/2022

- Advertisement -