Persekutuan salur lebih RM21 juta kepada Negeri Sembilan

- Advertisement -

SEREMBAN: Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan kewangan secara keseluruhannya RM21,176,907.60 kepada imam, bilal, siak, guru takmir dan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Negeri Sembilan pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad menyatakan perkara itu pada Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2022 di Masjid Sri Sendayan, di sini, hari ini.

Beliau juga berkata, bayaran khas sebanyak RM500.00 secara one-off diteruskan lagi pada tahun  ini kepada imam, bilal, siak dan guru takmir di negeri ini seramai 1,696 orang penerima yang melibatkan peruntukan sebanyak RM848,000 bagi menghargai sumbangan mereka dalam pengimarahan masjid.

- Advertisement -

Menurutnya, bayaran khas itu akan disalurkan kepada penerima sebelum menjelang Hari Raya Aidil Fitri pada tahun ini.

Tambahnya, caruman kerajaan sebanyak RM232.80 seorang bagi Pakej Program Perlindungan di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS Lindung) Perkeso juga diteruskan lagi tahun  ini kepada imam, bilal, siak dan guru takmir negeri seramai 1,212 orang dengan jumlah peruntukan RM282,153.60 setahun.

Katanya, peruntukan bagi imbuhan imam seramai 837 orang dengan jumlah peruntukan RM8,537,400 dan elaun guru takmir seramai 289 orang dengan jumlah peruntukan RM3,121,200 bagi negeri ini telah disalurkan pada 7 Januari lalu bagi agihan suku pertama tahun ini.

“Oleh yang demikian jumlah keseluruhan peruntukan kewangan bagi imam, bilal, siak dan guru takmir Negeri Sembilan bagi tahun ini adalah sebanyak RM12,788,753.60 yang melibatkan seramai 4,034 orang penerima,” ujarnya.

Katanya lagi, kerajaan sangat menghargai sumbangan guru KAFA dengan menyalurkan bayaran bantuan khas tahun 2022 sebanyak RM1,064,500 kepada 2,129 orang guru KAFA di negeri ini yang telah mencurah bakti mendidik anak bangsa.

Menurut beliau, jumlah peruntukan elaun guru KAFA bagi Negeri Sembilan pada tahun ini RM7,323,654 yang melibatkan seramai 2,129 orang.

Menurutnya lagi, kerajaan sentiasa menghargai usaha-usaha yang telah dilakukan oleh para murabbi ummah dalam kalangan imam, guru takmir, guru KAFA, guru institusi pondok dan tahfiz, penyelaras pentadbiran masjid daerah, pegawai masjid dan penyelia KAFA dalam menyebarkan ilmu dan kefahaman Islam kepada masyarakat.

Beliau berkata, peranan mereka amatlah besar dalam meneruskan kesinambungan tugas para rasul dan nabi, menyebarkan ajaran Islam di dunia ini di samping membentuk umat dengan akhlak dan adab yang tinggi.

“Dalam mendepani dunia tanpa sempadan hari ini, pelbagai maklumat dan informasi boleh diakses dengan bebas.

“Peranan tuan-tuan dan puan-puan amat penting untuk memandu serta membimbing masyarakat agar berpegang teguh kepada kefahaman Islam berteraskan prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah,” ujarnya.

Tambahnya, perkara itu amat mustahak untuk menyelamatkan masyarakat daripada sebarang doktrin yang boleh menyeleweng fahaman akidah, syariah serta akhlak umat Islam.

Begitulah juga, ujarnya peranan besar mereka semua sebagai penyatu ummah.

Beliau berkata, institusi masjid, surau, sekolah pondok, tahfiz dan sekolah adalah institusi untuk menyatukan ummah.

“Apabila kita bersatu padu, ia akan menambah kekuatan umat Islam dan akan sentiasa dicontohi oleh semua pihak,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/2/2022

- Advertisement -