Farmasi Superbig farmasi pertama sedia khidmat pandu lalu

Foto RIZAL TAHIR
- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Farmasi Superbig Kubang Kerian dekat sini menjadi farmasi komuniti pertama di negara ini menggunakan konsep pandu lalu bagi meningkatkan perkhidmatan pelanggan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, farmasi pandu lalu itu amat sesuai ketika negara dan dunia masih dilanda Covid-19.

- Advertisement -

Katanya, perkhidmatan yang disediakan itu lebih memudahkan pelanggan untuk mendapatkan bekalan ubat bagi kegunaan keluaarga.

“Selain cecair pembasmi kuman, alat imbas suhu badan atau seumpamanya wajar disediakan setiap keluarga. Kit perubatan seperti itu wajar disediakan ketika musim wabak sekarang,” katanya ketika berucap merasmikan farmasi tersebut, semalam.

Turut hadir Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) Amrahi Buang dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Superbig Capital Berhad Dr Wan Sazrina Wan Zaid.

Sementara itu Amrahi berkata, kaunter pengambilan ubat secara pandu lalu adalah alternatif terbaik dilaksana ketika penularan Covid-19 yang masih melanda negara dan dunia sekarang.

Menurutnya, pelanggan akan berada dalam kenderaan ketika membeli ubat-ubatan sekali gus mengasingkan diri dari kelompok orang ramai.

“Mereka hanya perlu memesan ubat melalui kaunter pandu lalu dan secara tidak langsung membantu mengurangkan risiko penularan pandemik Covid-19,” katanya pada sidang media selepas pelancaran tersebut.

Menurutnya juga sehingga kini terdapat 22,000 ahli farmasi di seluruh negara yang berdaftar dengan MPS termasuk 4,000 ahli farmasi komuniti. – HARAKAHDAILY 4/2/2022

- Advertisement -