Ustaz Rosli, Muslimat PAS Kuantan rai kaum Tionghua

- Advertisement -

KUANTAN: ADUN Tanjung Lumpur, Ustaz Rosli Abdul Jabar dan Muslimat PAS Kawasan Kuantan telah menyantuni masyarakat kaum Tionghua sempena Tahun Baharu Cina dalam kalangan penduduk setempat, di sini kelmarin dahulu.

- Advertisement -

Program tahunan setiap kali perayaan ini telah menyediakan juadah istimewa berupa pulut kuning dan rendang yang menjadi kegemaran masyarakat Tionghua di mana diedarkan dalam ramah mesra pada kunjungan diadakan.

“Ini merupakan program tahunan anjuran Pejabat ADUN Tanjung Lumpur sempena sambutan Tahun Baharu Cina. Selain itu, inisiatif begini mampu memupuk nilai-nilai perpaduan dan perasaan sangka baik biarpun berbeza agama, bangsa mahupun fahaman politik.

“Semoga program ni dapat mengeratkan lagi hubungan antara masyarakat di negara kita seterusnya dapat membina masyarakat yang lebih sejahtera dan aman damai dalam konteks memupuk semangat ‘Keluarga Malaysia’.

“Program ini juga diharap mengecilkan jurang antara PAS dan masyarakat Cina dengan meraikan perayaan mereka dan menafikan sangkaan kononnya orang PAS anti masyarakat Cina,” ujar beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang.

Ketika sama, Muslimat PAS Kuantan juga mengagihkan 200 bungkus pulut kuning bersama rendang dan cenderahati di Taman Kurnia Jaya, Taman Guru dan Taman Seri Inderapura dalam DUN Inderapura.

“Diharapkan juadah pulut kuning yang menjadi kegemaran masyarakat Tionghua ini, dapat mengembirakan mereka dalam persediaan menyambut Tahun Baharu Cina,” ujar Ketua Muslimat PAS Kuantan, Rosmani Mustafa. – HARAKAHDAILY 1/2/2022

- Advertisement -