Bekas Adun PAS ucap terima kasih

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Pasir, Johor daripada PAS, Najib Lep memanjatkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT atas kesempatan rezeki untuk berkhidmat selaku wakil rakyat bagi DUN berkenaan sepanjang 2018-2022.

“Dengan ini, saya menyusun sepuluh jari ingin memohon kemaafan di atas segala kekurangan serta kelemahan di sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai wakil rakyat.

Advertisement

“Sesungguhnya yang baik adalah datang daripada kurniaan Allah SWT dan yang lemah itu terletak kepada diri saya sebagai hamba-Nya yang tidak sempurna,” ujarnya menerusi satu hantaran yang dikongsikan di laman Facebook PAS Johor, semalam.

Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang banyak memberi sumbangan dalam kerja-kerja membangunkan masyarakat DUN Bukit Pasir ke arah kesejahteraan, hidup makmur dan harmoni antara satu sama lain.

“Hanya Allah SW. mampu membalas segala jasa dan amalan kita semua, saya mendoakan agar dipermudahkan. Diberikan kesempatan, semoga kita dipertemukan lagi di masa yang akan datang, insya-Allah,” ujarnya yang merupakan Adun tunggal PAS dalam DUN Johor.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, beliau yang memperolehi 9,825 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Noriah Mahat dengan majoriti 1,883 undi.

Sabtu lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor untuk memberi laluan kepada PRN. – HARAKAHDAILY 24/1/2022