PPN 2.0 dirangka segera secara komprehensif

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah dirangka pada 2021 dianggap sebagai panduan strategi membawa keluar negara daripada kemelut ekonomi akibat penularan wabak Covid-19.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sehingga sekarang semua negeri beralih ke fasa 4 PPN.

Oleh itu, katanya MPN berpandangan pelan pemulihan untuk fasa-fasa pemulihan seterusnya diperlukan.

- Advertisement -

“Pelan Pemulihan Negara 2.0 (PPN 2.0) akan dirangka segera secara komprehensif dan inklusif melibatkan input daripada semua pemegang taruh.

“Ia melibatkan pakar pelbagai bidang, swasta, pertubuhan bukan kerajaan, kerajaan negeri, kementerian dan agensi sesuai menggunakan pendekatan seluruh negara.

“Insya-Allah dengan kerjasama semua, saya pasti PPN2.0 akan membolehkan Malaysia terus membangun secara mampan walaupun berhadapan dengan cabaran Covid-19,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.

Pada Isnin lepas Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat pertama MPN tahun ini bagi meneliti status terkini Covid-19 terutama varian Omicron dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

MPN turut mendengar taklimat mengenai mekanisme pengurusan banjir yang dibentang Ketua Pengarah NADMA Dato’ Dr Aminuddin Hassim.

Menurut Muhyiddin bencana banjir yang melanda negara memberi impak kepada proses pemulihan negara pasca Covid-19. – HARAKAHDAILY 13/1/2022

- Advertisement -