‘Walaupun teruk diasak, beliau terus berjalan’

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
Pembentukan ahli perlu berlandaskan tiga tunjang utama demi menepati syariat yang Allah turunkan.

Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Mokhtar Senik mengingatkan agar pemimpin hari ini tidak hanya bercakap soal politik dengan melupakan tiga asas penting.

“Kita perlu ingat, sesuatu perkara itu akan diterima menjadi ibadah bila ada tiga syarat iaitu akidah yang betul, mengikut syariat Islam serta dibuat semata-mata ikhlas kerana Allah SWT.

“Maka, pemimpin jangan hanya asyik bercakap soal politik semata-mata, sebaliknya ahli mesti dibentuk dan dengan akidah yang benar,” tegasnya.

- Advertisement -

Menurutnya lagi, perkara berkenaan sentiasa ditekankan oleh kepimpinan PAS sejak era Kepimpinan Ulamak hingga ke hari ini.

“Penekanan Tuan Guru Presiden PAS terhadap soal akidah dan perjuangan pada hari ini adalah selari dengan tulisan buku yang pernah dikarang Almarhum Ustaz Fadzil Noor iaitu Akidah dan Perjuangan, suatu ketika dahulu.

“Maknanya penekanan terhadap perjuangan ahli PAS pada masa itu juga dibawa kepada asasnya iaitu akidah,” terangnya semasa menyampaikan kertas kerja Memahami Minda Presiden Siri 1, anjuran PAS Kawasan Kangar di Balai Islam MADI, Jejawi Dalam, di sini, semalam.

Oleh itu katanya, perjuangan berlandaskan semangat politik sahaja tidak akan ke mana malah tidak dapat bertahan dan menjadi sia-sia di sisi Allah.

Di samping itu, beliau menyeru agar seluruh kepimpinan dan ahli di semua peringkat supaya terus mendukung agenda perpaduan ummah yang diterajui Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“Walaupun kita dihujani dengan pelbagai isu, ia tidak wajar dijadikan alasan untuk merelakan ummah ini terus berpecah.

“Muzakarah Majlis Syura yang bersidang baru-baru ini juga turut memutuskan untuk mempertahankan perpaduan ummah menerusi Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Beliau sangat gemar dengan usaha untuk bersatu berbanding untuk berpecah dan ini boleh kita lihat daripada tema-tema yang diangkat menjadi tema Muktamar PAS,” katanya lagi.

Ujarnya, malah gagasan MN terhasil dari buah fikiran beliau yang mula dilontarkan pada tahun 2010.

Namun, kata beliau pada masa itu ditolak oleh sebahagian besar kepimpinan PAS yang pada hari ini telah meninggalkan parti.

“Usaha ini bukanlah mudah bahkan Tuan Guru Presiden PAS sendiri terpaksa menempuh pelbagai halangan serta kesukaran yang ada hingga ke saat ini.

“Namun, demi kepentingan Islam, semua itu dihadapi beliau dengan penuh tabah dan sabar,” katanya.

Tambahnya, disebabkan itu, Tuan Guru Presiden mampu bertahan walaupun mendapat tentangan hebat oleh pihak yang mahu menggagalkan usaha itu.

“Walaupun teruk diasak, beliau terus berjalan demi menjayakan agenda ini dengan penuh yakin demi kemenangan Islam,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 9/1/2022

- Advertisement -