Program keadilan Umar untuk rakyat

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 25)

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK

Umar berkata:

لو عشت لأخذت فضول أموال الأغنياء فرددتها على الفقراء ، ليس أحد أحق بهذا المال من احد ، سألحق أواخر الناس بأوائلها و ليأتين المرأة في صنعاء نصيبها من هذا المال و لأطوفن بالأمصار قأقيم بكل قطر شهرين فإني اعلم ان للناس حوائج تقطع دوني أما عمالهم فلا يرفعونها الي، و أما الناس فلا يصلون الي

“Jika aku terus hidup, aku akan ambil lebihan harta orang kaya, lalu aku berikannya kepada fakir (melalui zakat atau cara lain menurut syarak). Tiada seorang yang lebih berhak dengan harta ini dari orang lain. Aku akan hubungkan orang di hujung dengan yang mula-mulanya. Datanglah perempuan dari Sana’a, habuannya dari harta ini. Aku akan beredar ke seluruh pelusuk negeri, lalu aku tinggal di tiap-tiap daerah selama dua bulan. Aku tahu rakyat ada pelbagai hajat yang tidak sampai kepadaku. Pekerja mereka mungkin tidak mengangkat isu itu kepadaku. Manusia pula tidak sampai kepadaku.”

- Advertisement -

Melalui ucapan ini kita dapat mengistinbat/mengeluarkan beberapa pengajaran:

1) Saidina Umar menurut sunnah pemerintahan Nabi SAW dan Abu Bakar RA dengan menjadikan tema ‘menegakkan keadilan’ sebagai tema utama pemerintahan. Ia bukan sekadar tema, lakonan atau gimik mengambil hati rakyat tetapi dikotakan apa yang dikata. Sikap sebegini mesti menjadi ikutan pemerintah Islam.

2) Agihan harta di kalangan rakyat mesti dibuat secara adil dan saksama.

3) Orang kaya mesti cakna dan prihatin kepada orang miskin. Tanggungjawab agama dan sosial berkaitan harta menjadi elemen penting dalam kemakmuran sebuah negeri dan negara. Oleh sebab itulah, zakat menjadi rukun Islam yang wajib ditunaikan.

4) Hakikatnya, harta milik Allah, manusia diamanahkan untuk menguruskannya sebagai khalifah di bumi. Umar al-Khattab sangat memahami mengenainya.

5) Orang perempuan juga adalah rakyat yang berhak mendapat sesuatu daripada kerajaan.

6) Saidina Umar bersedia untuk berada di setiap daerah selama dua bulan bagi mendapat input dari rakyat berkenaan hajat dan isu yang mereka kemukakan. Ini kerana maklumat dari rakyat tidak sampai kepada Umar kerana staf yang tidak mengangkat isu itu kepadanya atau rakyat yang tiada saluran untuk memberitahu. Ia adalah satu bentuk cakna yang hebat dari seorang yang hebat.

7) Dalam konteks semasa, agak kurang praktikal jika seorang ketua eksekutif sebuah negeri atau negara tinggal di suatu daerah selama dua bulan mengumpul maklumat dari rakyat. Agensi tertentu sudah diamanahkan untuk mengumpulkan semua pandangan dan cadangan ini.

Semangat dari apa yang dibuat oleh Umar ialah pemerintah sangat sensitif dengan keperluan rakyat. – HARAKAHDAILY 30/12/2021

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

- Advertisement -