‘Dua kali air naik secara mengejut’

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH | MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE

SUNGAI BULOH: Air banjir di Kampung Kubu Gajah, di sini naik secara mengejut sebanyak dua kali pada hari kejadian, kongsi mangsa banjir, Rafisah Harun, 56, ketika ditemui semalam.

Menurutnya, ketika kejadian dia dimaklumkan terlebih awal oleh jiran untuk mengalihkan kenderaan daripada ditenggelami air banjir.

Rafisah yang ketika itu tidak menyedari akan situasi berkenaan bertindak pantas mengalihkan kenderaan mereka ke rumah jiran yang lebih tinggi.

- Advertisement -

“Hari kejadian, banjir berlaku tidak lama. Pertama kali naik air adalah pada jam 3 petang, kemudian jam 7 malam sudah surut. Sebab setahu saya, jika air dapat mengalir dengan baik di sungai, tiada masalah.

“Kemudian, setelah kami cuci banjir yang pertama, jam 9.30 malam itu air naik semula sehingga jam 6 pagi esok baru kembali surut,” katanya.

Menurut Rafisah, kawasan berkenaan selalu dinaiki air disebabkan lokasi yang bersebelahan dengan sungai, namun kediamannya sering terselamat memandangkan rumahnya berada di tempat yang lebih tinggi.

Bagaimanapun kata Rafisah, banjir pada Sabtu lalu mengejutkannya apabila kediamannya tidak terkecuali daripada dimasuki air dengan paras yang tinggi.

“Walaupun di sini tidak kritikal, tetapi kita memang tidak berani untuk harung banjir, kita tunggu dalam rumah sahaja dengan rasa takut.

“Sebab semasa banjir pertama yang jam 3 petang itu air tidak masuk sehingga ke dalam rumah, cuma di luar dan kita tak perasan.

“Kemudian, semasa solat asar dalam jam 4.30, belum habis solat air sudah naik, saya perasan pun disebabkan sejadah yang saya gunakan basah, memang air naik dengan cepat, sebab itu ada kes yang tidak dapat diselamatkan nyawa,” katanya.

Katanya, dia belum dapat menyimpulkan jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung akibat kemusnahan harta benda berikutan banjir itu.

Katanya lagi, sebagai pengusaha karipap pusing sejuk beku, dia juga belum dapat mengenalpasti jika mesin peralatan dan peti sejuk yang digunakan untuk perusahaannya itu dapat beroperasi seperti biasa selepas hampir ditenggelami air sepenuhnya.

“Saya sudah buang satu tong roro untuk kerja mencuci, kalau tidak ambil tong roro nanti di depan ini akan bersepah.

“Hendak tunggu Majlis Bandaran datang bukan senang, tapi Alhamdulillah anak saya memang sewa tong roro ini, satu trip dalam lingkungan RM160,” katanya.

Tong roro yang disewa Rafisah untuk tujuan membuang barangan yang rosak akibat banjir

Menurutnya, sehingga Rabu lalu, dia bersama suami dan dua anak yang tinggal bersama belum selesai melakukan kerja-kerja pembersihan.

Katanya, mereka juga bimbang jika air sungai kembali naik berikutan ramalan cuaca meramalkan hujan lebat dalam tempoh dua hingga ke tiga hari akan datang.

“Selepas daripada kejadian itu, memang saya sentiasa berhati-hati dan saya takut apabila hujan. Ini pun saya tidak turunkan barang saya di dalam rumah. Tapi, saya hanya tawakkal dan berserah.

“Malam itu pun kita tawakkal sahaja, sebabnya kita tahu ada orang yang lebih teruk dan perlu diselamatkan, kami ambil keputusan untuk tidur sahaja di atas tilam sehingga air surut pada pagi Ahad,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/12/2021

- Advertisement -