Hak asasi manusia mesti ditafsir ikut acuan setempat

- Advertisement -

HAK asasi manusia mempunyai berbagai tafsiran. Ada yang menafsirkannya dari sudut pandang universal. Ada yang menafsirkan dari sudut acuan setempat, yang selari dengan agama dan budaya. Yang pasti, nilai hak asasi mesti selaras dan tidak bertentangan dengan syariat.

Saya amat menghargai usaha Malaysia Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process (MACSA) yang konsisten mempromosikan hak asasi manusia yang berdasarkan ‘cultural relativism’, iaitu mengikut acuan negara Malaysia.

- Advertisement -

Pendekatan MACSA dalam memperjuangkan hak asasi manusia adalah bertepatan dengan adat dan budaya setempat serta selari dengan tuntutan syara’, tanpa mengabaikan dan melanggar teras hak asasi manusia. Ini seperti yang diterangkan kepada saya oleh Tuan Lukman Sheriff Alias, Pengerusi MACSA dalam kunjungan hormat beliau tengahari tadi. 

Sememangnya Islam amat menitikberatkan soal hak asasi manusia, seperti yang diseru dalam Kalamullah Al-Quranul Karim dan Sunnah Baginda S.A.W. Islam mengangkat kesamarataan dan keadilan tanpa mengira kaum atau status taraf, menjamin hak kebebasan beragama, serta menghapuskan penindasan dan ketidakadilan di kalangan umat.

Namun penafsirannya harus tidak sehingga melanggar batas syariat serta norma dan fitrah manusia, seperti yang difahami oleh sesetengah pihak yang menyeleweng. Penafsiran ini harus difahami dan disampaikan kepada semua masyarakat Islam di Malaysia bagi menyanggah tohmahan bahawa Islam menolak hak asasi manusia, serta menolak dakyah penafsiran hak asasi manusia yang bersifat melampau dan menyeleweng. 

Saya juga menerima sebuah laporan bertajuk MACSA Inaugural Islamophobia Report 2017 – 2020 yang berkisar mengenai masalah Islamophobia, dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin.

Terima kasih MACSA atas inisiatif ini. Semoga kerjasama antara Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan MACSA dapat terus dieratkan bagi memberi pencerahan kepada masyarakat berkenaan maksud hak asasi yang sebenar.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 17/12/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/412578727095840/posts/465971968423182

- Advertisement -