Aziah turut memimpin NGO aktif bantu masyarakat

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH:
Selain dikenali sebagai pemimpin Muslimat PAS, calon Perikatan Nasional daripada PAS bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Aziah Mohd Sa’ad juga adalah pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif membantu masyarakat.

Aziah yang merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Masjid Tanah berkata, beliau terlibat dengan beberapa NGO dengan memegang berbagai-bagai jawatan.

“Sebenarnya saya terlibat dengan dua tiga NGO. Yang saya jadi pengerusi dan juga setiausaha terutamanya Persatuan Wanita Sejahtera Melaka di mana kami telah terlibat dengan beberapa misi.

“Contohnya bila berlakunya Covid-19 kita usahakan untuk menjahit pakaian pelindung peribadi (PPE). Kita kerahkan muslimat untuk menjahit pakaian-pakaian itu meliputi tudung, stoking,” ujarnya.

- Advertisement -

Beliau yang lebih mesra disapa sebagai Cikgu Aziah berkata, ketika itu pihak hospital terutamanya Hospital Besar Melaka sedang menghadapi kekurangan bekalan PPE tersebut di saat Covid-19 sedang meningkat.

Aziah turut mengucapkan jutaan terima kasih di atas kerjasama yang telah diberi oleh semua sukarelawan-sukarelawan daripada semua NGO yang membantu.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam forum Bicara Harakah yang berlangsung secara dalam talian semalam bertajuk PRN Melaka : Tawaran Perikatan Nasional.

Tambahnya, selain membantu menjahit dan membekalkan PPE, NGO yang dipimpinnya juga terlibat membantu mengumpul sumbangan bagi membantu rakyat Palestin ketika berlaku serangan Israel ke atas negara itu.

Selain itu, menurut tokoh pendidik ini, NGO yang dipimpinnya juga membantu kerajaan dalam usaha mempercepatkan proses vaksinasi Covid-19 dengan pembukaan pusat-pusat pemberian vaksin (PPV).

“Ketika jumlah penerima vaksin di Melaka terlalu rendah ada sebahagian NGO yang membantu untuk bersama-sama mempercepatkan aktiviti ini.

“Bila berlakunya pertambahan penduduk yang dapat vaksin kita dapat keluar daripada keadaan yang terkongkong sebelum Ini.

“Inilah sumbangan-sumbangan yang telah kita lakukan untuk membantu rakyat,” ujar beliau.

Tambahnya lagi NGO beliau turut terlibat dalam pengedaran bantuan Bakul Prihatin inisiatif kerajaan Perikatan Nasional dalam membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

“Alhamdulillah, semasa Perikatan Nasional berjaya menjadi pemerintah di mana berbagai-bagai sumbangan yang dikeluarkan oleh kerajaan Perikatan Nasional untuk rakyat negeri Melaka.

“Dan kita pun dapat maklum balas daripada masyarakat yang mengucapkan terima kasih. Maknanya, masyarakat ini memang memerlukan bantuan.

“Tapi kita kena juga fikirkan juga bahawa kita bukan sekadar perlu bagi bantuan sahaja, atau (maknanya) kita bukan bagi ikan sahaja tetapi kita kena bagi joran,” ujarnya lagi.

Selain beliau, tujuh lagi calon daripada PAS yang bertanding atau tiket Perikatan Nasional Bakri Jamaluddin (Kelebang), Muhammad Al Afiz Yahya (Bukit Katil), Abu Hashim Abdul Samad (Taboh Naning), Datuk Kamarudin Sidek (Duyong), Ja’afar Othman (Durian Tunggal), Ahmad Bilal Rahaudin (Serkam) dan Abd Alim Shapie (Merlimau).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi pada 20 November manakala undi awal pada 16 November. – HARAKAHDAILY 12/11/2021

- Advertisement -