UNFCCC COP-26: Ucapan Menteri KASA angkat martabat bahasa Melayu

- Advertisement -

Oleh SUZIANA GHANI

LAHAD DATU:
PAS Sabah mengucapkan tahniah dan syabas kepada Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man yang membuat ucapan dalam bahasa Melayu pada Sidang Peringkat Tertinggi UNFCCC COP-26 di Glasgow, semalam.

Ketua Penerangan PAS negeri, Ahmad Dullah berkata, Menteri KASA dengan berani mengangkat martabat bahasa kebangsaan di forum antarabangsa, selaras dengan semangat mendukung maruah dan kedaulatan negara.

- Advertisement -

“Ini adalah tindakan berani yang akan memperkenalkan bahasa Melayu kepada negara dunia antarabangsa,” ujarnya.

Menurutnya lagi, PAS Sabah berharap tindakan itu menjadi contoh kepada pemimpin lain yang mewakili negara agar mengangkat martabat bahasa kebangsaan di persada antarabangsa.

Ahmad Dullah

“Bahasa jiwa bangsa, maka memberikan ucapan dalam bahasa Melayu melambangkan kebesaran jiwa dan bangsa Melayu sebagai seorang pemimpin negara,” ujarnya lagi.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS negeri, Mustaman Mustain pula berkata, ucapan Menteri KASA yang juga Timbalan Presiden PAS itu cukup membanggakan Malaysia.

Menurutnya, Tuan Ibrahim yang mewakili Malaysia dalam kenyataan negara di Segmen Peringkat Tertinggi UNFCCC COP-26 telah membawa lembaran baru untuk Malaysia.

“Beliau telah memulakan ucapan dengan petikan ayat al-Quran, kalam Allah serta menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.

“Ucapan yang komprehensif tentang perancangan Malaysia dan KASA dalam pengurusan alam sekitar negara secara tidak langsung dapat memberikan panduan buat negara-negara lain yang hadir,” ujarnya.

“Jarang sekali kita dapat melihat pemimpin negara menggunakan bahasa Melayu di pentas antarabangsa.

Mustaman Mustain

“Selalunya kita hanya mendengar wakil Turki, Jepun dan Perancis yang sering menggunakan bahasa ibunda mereka sepenuhnya di pentas antarabangsa,” katanya lagi.

Tambahnya, itulah contoh teladan kualiti kepimpinan PAS apabila diberikan amanah dan kepercayaan untuk mewakili Malaysia di persada antarabangsa yang berusaha mengangkat bahasa kebangsaan di pentas UN Summit dan itu adalah satu keberanian. – HARAKAHDAILY 11/11/2021

- Advertisement -