Ziarah Tuan Guru Suaid Din

- Advertisement -

DUA malam lepas saya berkesempatan menziarahi Tuan Guru Suaid Din. Beliau balik seketika ke Pondok anak yatim DarusSalam yang diasaskannya di Tambun. Beliau sekarang menetap di Tanjung Piandang.

Beliau sedang diuji dengan kesihatan yang kurang memuaskan. Saya bersama Ketua Penolong Mufti, Ustaz Kamarudin Adam diberi ruang bertemu beliau yang masih terbaring di katil. Keadaannya agak baik berbanding sebelum ini setelah ditahan sembilan hari di wad. Kekangan COVID-19 membataskan ruang ziarah untuk muridnya. 

- Advertisement -

Tuan Guru Suaid Din mula menabur bakti di Sekolah Menengah Raja Perempuan Taayah setelah pulang dari pengajian di Mesir. Beliau mengajar beberapa bulan di Sekolah Izzuddin Shah Ipoh sebelum menumpukan khidmat di Taayah khasnya pelajar Sijil Tinggi Agama.

Saya mula menjadi murid beliau di tahun 1992. Beliau mengajar Bahasa Arab namun sentiasa diisi dengan ilmu kefahaman Islam dan semasa. Ketika beliau mengajar Bahasa Arab, teks yang digunakan adalah berkaitan Perang Teluk yang berlaku ketika itu. Peperangan yang telah diramal secara terperinci dan tepat sepuluh tahun sebelumnya. Kami yang menetap di Izzuddin Shah selalu berebut menumpang datsun 1,000 beliau untuk balik awal ke asrama.

Sekitar tahun 1997 saya bersama Cikgu Hashan Aladi berkesempatan bermalam dan mengikuti Dato’ Panglima Perang Ustaz Nasaruddin Daud dalam program seharian beliau hingga ke Narathiwat. Dalam sembang malam saya bertanya beliau mengenai Tuan Guru Suaid. ‘hebat, kalau kami ada masalah dan datang bertanya, beliau akan menyuruh kami mengambil buku di raknya dengan menyebut nama dan muka surat… Antara pujian yang jelas saya ingat hingga kini.

Tuan Guru Suaid sempat memimpin Dewan Ulamak PAS Perak di samping berterusan menjadi Murabbi untuk nuqaba di Perak. DarusSalam beliau menjadi tempat kunjungan guru agama mendapatkan bimbingan dan tunjuk ajar. Tempat itu jugalah tempat kami menadah kitab bertalaqqi dengan beliau. Beliau begitu bersemangat dengan ilmu hingga selalunya terlajak larut malam.

Kekangan kesihatan sekian lama seringkali membataskan pergerakan beliau. Namun dalam menyebarkan ilmu beliau masih laksanakan. Sehingga kini beliau masih menjadi Ahli Jawatan Kuasa Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Perak. Budaya ilmu sentiasa hidup bersama beliau.

Ziarah seketika selepas Isyak memberi kesempatan kami menerima nasihat. Mengingatkan peri pentingnya ilmu dan kitab. Berpesan agar mencari kitab dengan ilmu bersanad. Selain menitipkan amalan zikir dan doa, beliau juga berpesan… ‘Budak Izzuddin kena berjuang Islam’.

Semoga semua ribuan murid beliau dapat mendoakan kesihatan beliau untuk kembali menabur ilmu. Dalam usia belum mencecah 70 tahun, kita berharap limpahan ilmu itu boleh dikongsi oleh ummat.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 9/11/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=7163207947026535&id=100000122032873&sfnsn=mo

- Advertisement -