Infaq Istiqamah: Sasar 10 peratus ahli, dapat RM2.62 juta

- Advertisement -

KUALA NERUS: PAS menyasarkan 10 peratus daripada jumlah ahli menyertai Infaq Istiqamah pada tahun ini.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini kerana mereka yang menyertai skim infaq itu hanya 2,811 ahli atau hanya 0.28 peratus.

“Hanya 0.28 peratus daripada jumlah ahli kita yang sertai Infaq Istiqamah. Itupun kita dapat caruman purata sebulan RM73,393,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS ke-67 di Duyong Marina Resort di sini, semalam.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berharap pihak lajnah berkenaan mengambil perhatian untuk menyasarkan 10 peratus ahli menyertai skim itu.

“Saya ingin meletakkan sasaran untuk tahun ini kita capai 10 peratus daripada keahlian parti kita, insya-Allah. Saya harap lajnah dapat ambil perhatian.

“Dan kalau ini kita dapat, insya-Allah sumbangan ahli, mereka yang sedia bersama kita akan mencapai jumlah kutipan RM2.62 juta, insya-Allah,” katanya lagi.

Beliau turut menjelaskan cadangan PAS untuk menganjurkan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah sebagai meneruskan apa yang telah dianjurkan sebelum ini.

Menurutnya, penganjuran program itu telah ada di dalam kerangka awal tetapi ditangguh kerana pandemik Covid-19.

“Nak anjur ijtimak perpaduan ummah telah ada dalam kerangka awal tetapi kerana Covid melanda selama dua tahun, kita hampir tangguh semua aktiviti fizikal ini, jadi tidak boleh mengadakan program secara fizikal,” jelas beliau.

Bagaimanapun, menurutnya hubungan PAS dengan rakan-rakan di rantau ini terus diadakan secara online.

“Insya-Allah bergantung kepada situasi semasa, kita jangka pada tahun hadapan kita anjur Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 8/11/2021

- Advertisement -