Misi damai: PAS main peranan satukan umat Islam

- Advertisement -

KUALA NERUS: PAS mengajak seluruh umat Islam di dunia kembali kepada al-Quran dalam misi penyatuan ummah yang tidak hanya terhad di Malaysia semata-mata.

Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, berkata PAS akan memainkan peranan bagi menyatukan umat Islam dalam kalangan negara-negara Islam melalui misi damai yang telah dilakukan sejak puluhan tahun lalu.

Katanya, usaha itu akan dilakukan dengan kerjasama kerajaan Malaysia melalui Lajnah Antarabangsa dan PAS Relief menggerakkan bantuan kemanusiaan melalui misi kebajikan, pendidikan dan pembangunan fizikal di negara Islam berkenaan.

Ujar beliau, antara kerjasama negara Islam yang dijalinkan kerajaan Malaysia ialah negara Palestin yang gagal mencapai status negara merdeka sehingga ke hari ini akibat kerakusan jajahan negara haram Israel.

- Advertisement -

“Kempen Aid4Palestine menjadi bukti komitmen PAS dan sokongan rakyat Malaysia yang berterusan terhadap usaha pembebasan Palestin dan kebajikan saudara kita di bumi Palestin penuh berkat.

“Kekraban Malaysia dan bumi Palestin tidak sesekali akan dapat dipisahkan,” tegas beliau ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 yang bertemakan Islam Menyatukan Ummah di Duyong Marina Resort, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, antara peristiwa penting yang boleh dijadikan teladan adalah pendekatan diambil kumpulan Taliban meraikan kepelbagaian masyarakat di Afghanistan terdiri masyarakat majmuk pelbagai qabilah, suku kaum, mazhab Sunni dan Syiah.

“Sekalipun mereka mempunyai majoriti kaum Pashtun beraliran Sunni bermazhab Hanafi, mereke mewujudkan kepimpinan para ulama’ yang mendalami mazhab Hanafi dan perkembangan politik semasa, mereka terus beristiqamah dan berjuang menegakkan Islam,” katanya.

Sehubungan itu, Tuan Guru Abdul Hadi turut mengingatkan semua pihak untuk tidak menjadi perisai pertahanan kepada mana-mana kuasa besar yang mencaei negara untuk membina pangkalan demi menjaga keselamatan mereka tanpa mempedulikan negara lain.

“Kita perlu berhati-hati terhadap pakatan baharu AUKUS yang mengubah strategi setelah kedudukan mereka tercorot di Afganistan dan Iraq yang menunjukkan kerakusan pihak terbabit meletakkan seluruh dunia di bawah kawalannya sehingga merangkumi ke Lautan Pasifik dan Lautan Hindi,” katanya yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah.

Justeru beliau menyarankan agar keutamaan perlu diambil dengan mementingkan mudarat lebih ringan dan kecil melalui pendekatan memandang kepada kedudukan serantau terlebih dahulu.

Oleh yang demikian, beliau menegaskan negara perlu membina kekuatan sendiri dengan mengadakan kerjasama serantau yang adil dan saksama, bukan melalui penjajahan.

“Pada masa yang sama, kerjasam politik boleh diadakan bagi membantu saudara seagama yang masih dijajah di beberapa tempat di dunia seperti Palestin, Kashmir, Rohingya, Uyghur dan seumpamanya,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 6/11/2021

- Advertisement -