Kelantan wajib kakitangan negeri suntik vaksin Covid-19

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kerajaan Kelantan membuat keputusan mewajibkan kesemua kakitangan penjawat awam negeri mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Dr Izani Husin berkata, sekiranya mereka gagal dan enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 tindakan tatatertib akan diambil terhadap mereka.

Katanya sehingga sekarang kira-kira 20 peratus dalam kalangan mereka masih belum mengambil suntikan.

- Advertisement -

“Keputusan itu dicapai pada mesyuarat Exco Kerajaan Negeri hari ini sebagai langkah menzahirkan komitmen pimpinan kerajaan untuk memastikan agenda kerajaan tercapai.

“Langkah itu juga merupakan sebagai usaha kerajaan bagi memastikan Kelantan dapat beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan MABNA, Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Menurutnya juga setakat ini tiada tempoh pelaksanaan ditetapkan memandangkan perkara itu baru diputuskan.

Dr Izani juga berkata, kerajaan negeri berharap semua penduduk mengambil suntikan vaksin bagi mempercepatkan agenda kerajaan dan melaksanakan pelan pemulihan negara.

Dalam perkembangan sama katanya, sebanyak hampir 90 peratus penduduk di negeri ini sudah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 untuk dos pertama manakala, sebanyak 86 peratus lengkap dos kedua. – HARAKAHDAILY 3/11/2021

- Advertisement -