Oleh SRIHAYANIS ABASRI
KUALA LUMPUR: Pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, amat ditunggu-tunggu oleh rakyat dan begitu cermat mendengarnya ketika dalam persidangan.
RMK12 dijangka menjadi landasan bagi pembangunan negara bagi tempoh lima tahun bermula 2021 hingga 2025.
Justeru, inti pati yang telah diumumkan dalam RMK12 melibatkan usaha dalam menangani kadar kemiskinan, peluang pekerjaan, ekonomi, pendidikan dan kesihatan yang telah terjejas akibat pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, selari dengan pengumuman RMK12 itu, pelbagai pandangan turut dinyatakan sama ada daripada pakar, akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli politik, netizen dan orang ramai.
Pandangan berkenaan ada yang menyuarakan positif seiring dengan RMK12 dan ada juga yang membantah dan tidak bersetuju untuk diteruskan malah, ada juga yang turut memberikan pandangan mereka sendiri.
Hal demikian adalah wajar untuk kerajaan melipatgandakan usaha mereka bukan sahaja ke arah pemulihan, malah ke arah mentransformasikan industri berkepentingan.
Tinjauan Harakah melalui medium Facebook mendapati terdapat ramai pengguna memberikan komen di ruangannya setiap kenyataan yang difokuskan oleh Ismail Sabri.
Pengguna Facebook, Fadzil Jaafar, bersyukur di atas kenyataan Ismail Sabri yang kerajaan kini sangat prihatin terhadap rakyat Malaysia.
“Alhamdulillah terima kasih kerajaan, andai benar dinyatakan dan anggaplah setiap komentar yang disuarakan rakyat tanda rakyat perlukan kerajaan bertanggungjawab dan berkeupayaan memberi perubahan yang diharapkan.
“Tiada rakyat yang bersuara andai usaha membela nasib rakyat diabaikan, itu sahaja rakyat meminta,” kata Fadzil menerusi ruangan komen.
Di samping itu, Hafizan Hassan, turut berterima kasih kepada kerajaan kerana membantu usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang terjejas perniagaan kerana pandemik Covid-19 dengan bantuan Geran Khas Prihatin (GKP).
“Ramai usahawan IKS terjejas lumpuh tutup perniagaan dek pandemik Covid-19 dan alasan yang tidak logik jika perniagaan tutup beroperasi.
“Masih ramai usahawan tercicir untuk menerima bantuan dan sejujurnya mereka yang stabil yang menerima bantuan ini daripada yang benar-benar memerlukan.
“Alasan score kredit, penyata tidak aktif, ada tunggakan pinjaman-pinjaman lain menjadikan IKS terpaksa mencari Ah Long untuk membina semula perniagaan dan meneruskan kehidupan.
“Usahawan tidak minta duit percuma, tetapi cukup jika boleh menerima pinjaman daripada agensi yang selamat untuk bina semula dibandingkan terpaksa memilih pinjaman Ah Long,” kata Hafizan.
Selain itu, Khairul Annuar berpendapat bahawa, ekonomi gig merupakan isu yang pertama kali dibentangkan dalam perancangan RMK-12.
“Tahniah Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob kerana menyediakan RMK-12 yang relevan dengan perkembangan ekonomi semasa,” ujar Annuar menerusi ruangan komen.
Seterusnya, Ahmad Mazwani berkata, perubatan bukan sahaja menjaga kesihatan manusia tetapi boleh diguna pakai untuk penyelidikan dan memperoleh pendapatan negara.
“Semoga dengan adanya pusat penyakit berjangkit ini kemungkinan akan wujud juga tempat penyelidikan vaksin. Terbaik Dato’ Sri,” ujar Ahmad yang menyokong akan rancangan ini.
Sehubungan itu, beliau juga berkata bahawa menyokong dan menjayakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) adalah merupakan kaedah yang baik dari segi pelaburan dan perancangan.
“Program dalam mewujudkan sekolah vokasional ini adalah bagi melahirkan tenaga kerja warganegara Malaysia berkemahiran tinggi.
“Tidak semua pelajar di sekolah yang cemerlang dari segi akedemik lebih cenderung kepada pendidikan, oleh itu, akademik harus diberikan pilihan seperti pertukangan, pertanian dan pembaikan mesin harus diwujudkan.
“Ini dapat membantu melahirkan ramai warga kerja yang berkemahiran tinggi. Justeru, perkara ini minta dikaji dan dipertimbangkan terutamanya kepada pelajar orang kurang upaya (OKU),” kata Ahmad memberi pandangan.
Kemudiannya, Fadli Zulkefli berkata, kerajaan haruslah membantu memantapkan pendirian anak muda dalam kegiatan ekonomi bertaraf antarabangsa.
“Anak muda pembina masa depan negara. Tambahkan lagi kekayaan negara dengan tenaga dan kelebihan anak muda agar tidak rugi pada generasi akan datang,” kata Fadli seiring dengan kenyataan tersebut.
Namun demikian, Mimie Meeza berharap agar bantuan kerajaan akan sampai kepada penerima yang sepatutnya dan bukan kepada penerima yang sama sahaja setiap kali ada program baik pulih seperti ini.
Juga, Asma Abdul Rahman, berpuas hati dengan pembentangan RMK-12 oleh Ismail Sabri, semalam.
“Terbaik Dato’ Sri Ismail Sabri kerana telah buat yang terbaik untuk ummah. Allah SWT di sampingmu selalu. Bersabarlah dengan pelbagai rungutan rakyat.
“Kerana suatu hari nanti mereka akan memahami dan mengetahui dengan baik apa peranan dan tanggungjawab yang telah dibawa oleh Perdana Menteri selama ini.
“Walau bagaimanapun, kita tidak dapat memuaskan dan memenuhi permintaan hati semua manusia,” ujar Asma.
Namun begitu, Seri Suhaila juga mengucapkan syabas kepada Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang juga bapa Keluarga Malaysia yang dihormati dan disayangi yang tidak lupa akan jasa warga Pertahanan Malaysia.
“Semoga dipermudahkan segala urusan semua, Aamiin,” ujar Suhaila dengan penuh kesyukuran.
Akhir sekali, Hafizudin Nasarudin berpendapat, jika hendak meneutralkan karbon, harus kekalkan jumlah liputan hutan semula jadi sedia ada serta banyakkan penanaman pokok dan usaha penghutanan semula.
“Negara kita banyak tanah-tanah terbiar dan miskin yang boleh kita kayakan semula biodiversitinya,” kata Hafizudin yang juga mementingkan pengudaraan yang bersih di negara ini. – HARAKAHDAILY 29/9/2021