Paralimpik: Malaysia kemuka rayuan kepada IPC, WPA hari ini

- Advertisement -

TOKYO: Malaysia akan mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan World Para Athletics (WPA) berhubung keputusan acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) pada Sukan Paralimpik Tokyo di sini, semalam.

Ketua kontinjennya, Ketua kontinjennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata proses rayuan kepada kedua-dua badan sukan itu akan dilakukan hari ini.

- Advertisement -

Beliau berkata kenyataan rasmi juga akan dikeluarkan pihaknya hari ini.

“Buat masa ini, saya tak nak kata apa-apa lagi, kita perlu sensitif dalam perkara ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau sebelum itu melakukan protes kepada  jawatankuasa teknikal pertandingan berhubung status jaguh olahraga Muhammad Ziyad Zolkefli yang diklasifikasikan sebagai tidak memulakan aksi walaupun melengkapkan lontaran pada saingan akhir berlangsung di Stadium Olimpik di sini.

Terdahulu, aksi Muhammad Ziyad Zolkefli berjaya mempertahan emas dimenanginya di Rio 2016 selain memecah rekod dunia 17.29m yang dilakukan atlet itu di Kejohanan Olahraga Para Dunia London pada 2017 dengan lontaran pada percubaan ketiga 17.94m sebelum jawatankuasa teknikal membuat keputusan kontroversi membatalkannya.

Bukan sahaja Ziyad Zolkefli malah dua lagi atlet iaitu Jordi Patricio Congo Villalba dari Ecuador dan Todd Hodgets dari Australia turut diberikan status sama.

Ecuador dan Australia yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu turut bersama dengan Megat D Shahriman dalam mengemukakan protes kepada jawatankuasa teknikal.

Atlet Ukraine, Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus memecah rekod dunia milik Muhammad Ziyad.

Perak juga milik atlet Ukraine, Oleksandr Yarovyi, dengan lontaran 17.30m manakala gangsa milik Efstratios Nikolaidis dari Greece, dengan lontaran 15.93m.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebelum itu mengesahkan kem negara sudah pun mengemukakan bukti untuk membantah protes yang dilakukan pasukan Ukraine sehingga menyaksikan emas terlepas daripada genggaman Muhammad Ziyad. – BERNAMA

- Advertisement -