Cabaran pandemik Covid-19 jadi iktibar umat Islam

- Advertisement -

KOTA BHARU: Cabaran pandemik Covid-19 perlu diambil iktibar umat Islam untuk memperkukuh hubungan silaturahim dan saling bantu membantu sesama kita.

Menteri Besar Kelantan Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, peristiwa hijrah mengajar umat Islam bersabar dalam apa jua cabaran, di samping sentiasa berusaha untuk berikhtiar dan bertawakal kepada Allah SWT.

- Advertisement -

Katanya, peristiwa hijrah menyaksikan bagaimana Rasulullah s.a.w mengeratkan ikatan persaudaraan antara Muhajirin yang berasal dari Mekah dan Ansar dari Madinah.

“Hubungan yang dibina atas asas Islam dan taqwa akhirnya berjaya membentuk kesatuan fikrah dan kerjasama dalam kalangan penduduk Madinah,” katanya pada kenyataan sempena perutusan sambutan Hijratul Rasul 1443 hari ini.

Menteri Besar juga berkata, hari ini merupakan hari terakhir tahun hijrah 1442.

Menurutnya tahun hijrah 1442 bakal meninggalkan kita dengan pelbagai peristiwa lebih-lebih lagi diuji dengan penularan wabak Covid-19.

“Sambutan awal tahun hijrah bukan hanya satu acara yang rutin disambut oleh kita pada setiap tahun, akan tetapi ia adalah permulaan keazaman kita untuk membuat perubahan kepada yang lebih baik.

“Serta sentiasa bertaubat dan mendekatkan diri kepada Allah SWT untuk mencari redhaNya dalam apa saja yang kita lakukan,” ujarnya.

Oleh itu, sebagai hamba Allah SWT kita hendaklah sentiasa berusaha mempertingkatkan amal ibadah agar menjadi hamba yang dikasihi dan diredai.

“Sama-samalah kita berdoa semoga segala amalan kita diterima oleh Allah SWT, mudah-mudahan dengan demikian kita dapat sama-sama memartabatkan syiar Islam dan membangunkan negara dengan petunjuk dan rahmat daripada Allah SWT,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 9/8/2021

- Advertisement -