Ummu Salamah pendamping hebat di sisi Rasulullah S.A.W

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, ini adalah kisah seorang wanita terpilih, terhormat dan mulia yang selalu ditimpa ujian, tetapi sentiasa bersabar dan tabah. Beliau ialah Hindun binti Hudzaifah (Abu Umayyah) bin Mughirah bin Abdullah bin Amr bin Makhzum. Beliau berasal dari keluarga yang terhormat kerana beliau berasal dari Bani Makhzum. Lahir 24 tahun sebelum Hijrah dan wafat pada tahun 61H. 

Ayahnya, Abu Umayyah seorang tokoh Quraisy yang dikenali dengan kedermawanannya sehingga diberi gelaran Zad ar rakib, mempunyai hati yang bersih serta sangat belas kasihan sehingga melahirkan empati dan kemurahan hati kepada manusia. Sekiranya beliau bermusafir bersama teman-temannya, beliau akan menanggung semua bekal secukupnya kepada seluruh teman-teman seperjalanannya. Sementara ibunya bernama Atikah binti Amir bin Rabi’ah al-Kinaniyah dari Bani Farras yang terhormat.

- Advertisement -

Ummu Salamah seorang wanita terhormat, berhijab dan suci. Ummu Salamah merupakan sepupu kepada Khalid bin Walid yang digelar Saifullah (Pedang Allah) dan Abu Jahal bin Hisyam. Ummu Salamah termasuk wanita pertama sekali berhijrah ke Madinah.

Hindun bin Abu Umayyah kemudiannya dikenali sebagai Ummu Salamah. Sejak dari kecil, Ummu Salamah sudah menampakkan keperibadian yang kuat untuk menjadi wanita terhormat. Ummu Salamah seorang yang berparas yang sangat cantik, terhormat dan bijaksana. Allah S.W.T telah menghilangkan kecemburuan di hatinya atas doa Rasulullah S.A.W. Ummu Salamah juga menjadi sebab turunnya beberapa ayat al-Quran, antaranya surah Ali-Imran: 195 mengenai Hijrah ke Madinah yang bermaksud: 

“Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmanNya): “Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan ugamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan ugamaKu, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam Perang Sabil) – sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)”.

(Ali Imran: 195)

Dan sebab penurunan Surah an-Nisaa’ ayat 32 mengenai Perang Khaibar di mana Ummu Salamah telah berkata kepada beberapa wanita:

“Semoga Allah juga mewajibkan pada kita (Kaum wanita) berjihad sebagaimana yang telah diwajibkan pagi kaum lelaki. Sehingga kita juga mempunyai peluang untuk mendapat pahala seperti mereka dapatkan.”

”Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (mengenai harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

(an-Nisaa: 32)

Selain itu Ummu Salamah banyak memberikan pandangannya yang bijak kepada Rasulullah S.A.W (Seperti dalam peristiwa Hudaibiyah). Ummu Salamah meriwayatkan sebanyak 387 Hadis (Terdapat 3 Hadis disepakati bersama al-Bukhari dan 10 Hadis bersama Muslim). Hadis yang diriwayatkannya mengenai bimbingan dan pendidikan untuk kaum wanita.

Sebelum bernikah dengan Rasulullah S.A.W

Sebelum menjadi Ummul Mukminin isteri Rasulullah S.A.W, Ummu Salamah telah bernikah dengan Abdullah bin Abdul Asaad bin Hilal bin Makhzum, seorang Sahabat yang mulia serta seorang lelaki yang soleh dan terkenal dengan kemampuan menunggang kuda. Mereka hidup bahagia. Kemudian beliau mesra dikenali sebagai Abu Salamah. Beliau juga saudara sesusuan Rasulullah S.A.W. Ibu Abu Salamah ialah Barrah binti Abdul Muthalib. Abu Salamah dan isterinya Ummu Salamah antara Sahabat yang awal memeluk Islam dan beriman dan mengikuti dua kali Hijrah.

Di ketika beratnya seksaan dan penganiayaan menimpa Sahabat-sahabat yang awal memeluk Islam, maka Rasulullah S.A.W mengizinkan mereka Hijrah ke Habasyah termasuk sepasang suami isteri ini.

Bagi Abu Salamah, Ummu Salamah adalah isteri terbaik, baik di segi kesetiaan, ketaatan dan dalam menunaikan hak-hak suaminya. Ummu Salamah pendamping setia kepada suaminya di waktu senang dan susah. Di ketika beratnya seksaan dan penganiayaan menimpa Sahabat-sahabat yang awal memeluk Islam di Makkah di masa itu, maka Rasulullah S.A.W mengizinkan mereka Hijrah ke Habasyah.

Mereka berhijrah ke Habasyah untuk menyelamatkan akidah dan agama mereka dengan meninggalkan harta, keluarga dan kampung halaman yang disayangi. Ummu Salamah telah melahirkan empat orang anak semasa di Habasyah iaitu Zainab, Salamah, Durrah dan Umar.

Tatkala mereka mendengar Islamnya Hamzah bin Abdul Muthalib dan Umar bin al-Khattab, ramai Sahabat yang hijrah kembali balik semula ke Makkah termasuk sepasang suami isteri ini. Hanya sebentar, kemudian kaum Quraisy kembali menyeksa mereka dengan hebat dan sekali lagi Rasulullah S.A.W mengizinkan mereka hijrah ke Madinah pula.

Kisah sedih yang amat menyayat hati seorang isteri dan ibu berlaku kepada Abu Salamah dan Ummu Salamah ketika saat Hijrah ke Madinah. Ummu Salamah telah ditahan dan dibawa pulang oleh ahli keluarganya daripada Bani Mughirah. Manakala anaknya ditahan dan dibawa pulang oleh Bani Asaad, ahli keluarga suaminya. Suami tetap meneruskan Hijrah ke Madinah. Maka Ummu Salamah terpisah dengan anak dan suaminya. Namun Ummu Salamah, Allah S.W.T berikan kesabaran yang tinggi untuk terus sabar melalui ujian itu.

Selepas setahun menderita, Ummu Salamah dibebaskan oleh keluarganya dan beliau terus bersama anaknya yang masih kecil menaiki unta Hijrah ke Madinah menyusul kekasihnya di Madinah. Berbekalkan tawakal dan kesabaran kepada Allah S.W.T, beliau mengharungi perjalanannya bersendirian bersama anak kecilnya.

Di pertengahan jalan, Ummu Salamah bertemu Uthman bin Talhah yang kemudian menemani Ummu Salamah dan anaknya sampai ke Madinah bertemu suaminya Abu Salamah yang tercinta. Pertemuan itu membuat Ummu Salamah hidup bahagia dan dapat beribadah dengan tenang, bertakwa serta menggali setiap bentuk kebaikan dari Rasulullah S.A.W. Seorang ibu yang berusaha mendidik empat anaknya dengan menanamkan kecintaan kepada Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W. 

Ummu Salamah sangat menyokong suaminya di dalam perjuangan di medan jihad. Beliau setia merawat luka-luka pada badan suaminya seusai peperangan, hingga suatu hari suaminya mengalami kecederaan luka yang parah seusai Perang uhud. Suaminya terbaring dalam sakarat al-maut maka terjadilah perbualan yang sangat menyayat hati.

Ummu Salamah menyatakan dialog rasa cinta kasihnya kepada Abu Salamah: 

“Aku mendengar bahawa seorang isteri ditinggal mati oleh suaminya, sementara suaminya itu menjadi penghuni syurga, lalu isterinya tidak menikah dengan lelaki lain, maka Allah S.W.T akan mengumpulkan mereka kembali di syurga. Kerana itu aku bersumpah bahawa engkau tidak akan menikah lagi (Seandainya aku mati dahulu) dan aku tidak akan menikah lagi setelah engkau mati.”

Abu Salamah menjawab luahan hati kekasihnya, “Mahukah engkau taat kepadaku?”

Ummu salamah menjawab, “Ya” (Mereka memang sepasang suami isteri yang romantis dan bahagia.)

Lalu Abu Salamah berkata, “Jika aku mati terlebih dahulu maka menikahlah lagi. Ya Allah, jika aku mati terlebih dahulu, berikanlah Ummu Salamah seorang suami yang lebih baik dariku yang tidak akan membuatnya sedih dan tidak akan menganiayainya.”

Tidak lama selepas itu, Abu Salamah wafat pada tahun ketiga Hijrah kerana luka-luka parah yang dialaminya. Beliau meninggalkan kekasih hatinya Ummu Salamah dan empat orang anaknya. Ummu Salamah telah melalui semua ujian ini dengan penuh keimanan, berbaik sangka dengan Allah dan kesabaran. Allah S.W.T mengabulkan doa Abu Salamah.

Dalam Sirah Nabawiyah Ibnu Kathir, Ummu Salamah menceritakan bahawa ketika kesedihannya menerima ujian dari Allah S.W.T dengan kewafatan Abu Salamah, beliau mengadu kepada Allah S.W.T dengan berdoa, “Ya Allah, berilah pahala atas musibahku ini. Dan gantikanlah dengan yang lebih baik darinya.” Dan selepas itu aku berfikir semula dan bertanya diriku, “Adakah untukku yang lebih baik dari Abu Salamah?”

Setelah menikah dengan Rasulullah S.A.W

Setelah iddahnya selesai, Abu Bakar dan Umar bin al-khattab meminang Ummu Salamah, namun kedua-duanya ditolak. Kemudian Ummu Salamh dipinang oleh Rasulullah S.A.W. Ummu Salamah berkata, “Wahai Rasulullah, siapa aku ini untuk tidak menerimamu. Tetapi aku adalah seorang wanita yang sangat pencemburu. Aku bimbang, kamu melihat pada diriku sesuatu yang menyebabkan aku diazab oleh Allah S.W.T. Dan aku adalah wanita yang sudah berusia dan memiliki anak-anak.”

Lalu Rasulullah S.A.W menjawab yang bermaksud:

“Mengenai kecemburuanmu, Aku akan berdoa kepada Allah untuk menghilangkannya darimu. Mengenai umurmu, Aku pun sudah berumur sebagaimana engkau. Dan mengenai anak-anakmu, anak-anakmu juga anak-anakku.”

Ummu Salamah pun menerima lamaran Rasulullah S.A.W. Mereka bernikah pada tahun 4H dengan walinya putera Ummu Salamah sendiri “Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk diriku seorang yang lebih baik dari Abu Salamah iaitu Rasulullah S.A.W sendiri.” Kata Ummu Salamah. Ummu Salamah masuk ke dalam keluarga Nubuwwah yang mulia. 

Indahnya perancangan Allah S.W.T, Allah S.W.T telah anugerahkan penghormatan kepada Ummu Salamah, penghormatan yang tiada tolok bandingnya dengan dunia dan seluruh isinya. Ummu Salamah telah menjadi isteri yang sangat baik, Beliau banyak membantu kerja dakwah Rasulullah S.A.W dengan sumbangan idea-idea dan pandangan-pandangan yang bijak dan matang.

Ketika berlaku peristiwa Perjanjian Hudaibiyah, sebuah perjanjian damai antara kaum Muslimin dan Musyrikin Makkah. Ramai di kalangan para Sahabat tidak bersetuju dan tidak berpuas hati dengan keputusan Rasulullah S.A.W kerana seolah-olah ianya terasa sangat merugikan kaum Muslimin dan sebaliknya menguntungkan kaum Musyrikin. Setelah selesainya penandatanganan itu, Rasulullah S.A.W berkata kepada para Sahabatnya yang bermaksud:

“Bersiap-siaplah, sembelih binatang korban dan cukurlah rambut kalian.”

Namun di saat itu, tidak ada seorang pun para Sahabat yang melaksanakan arahan Rasulullah S.A.W, meski pun diulang tiga kali. Melihat situasi ini Rasulullah lantas masuk ke khemah dan menceritakan kesedihan dan apa yang terjadi kepada isteri tercintanya Ummu Salamah. Di sinilah Ummu Salamah memainkan peranannya sebagai seorang isteri dengan baik sekali. Beliau tidak terikut dengan emosi dan kesedihan suaminya.

Wanita yang hebat dan bijaksana ini telah berusaha dengan sebaiknya menyelamatkan para Sahabat dari ingkar arahan Nabi S.A.W. Ummu Salamah telah memberikan cadangan terbaik kepada suami kekasih hatinya, 

“Wahai Nabi Allah, apakah engkau ingin para Sahabatmu melaksanakan arahanmu?. Keluarlah dan jangan berbicara dengan sesiapa pun sebelum engkau menyembelih haiwan korbanmu dan memanggil pencukur untuk mencukur rambutmu.”

Rasulullah menerima pandangan dan cadangan Ummu Salamah dan melaksanakannya dan seterusnya hal ini telah menguatkan kedudukan Nabi sebagai pemimpin yang menjadi teladan kepada umatnya. Ketika para Sahabat melihat hal itu, mereka terus bangun dan menyembelih binatang korban serta mencukur rambut mereka.

Ummu Salamah sangat menyayangi orang-orang yang di sekelilingnya. Beliau sangat bahagia dan gembira bila orang di sekelilingnya juga bahagia dan gembira. Ummu Salamah juga pernah memujuk Nabi S.A.W memaafkan Abu Sufwan bin Hariths dan Abdullah bin Abu Umayyah. Ummu Salamah ini pernah dianggap sebagai ulamak di generasi para Sahabat. Kenapa? Disebabkan beliau sentiasa mendengar bacaan al-Quran secara langsung dari Rasulullah S.A.W dan beliau juga dijadikan rujukan oleh para Sahabat dalam persoalan hukum dan fatwa terutama persoalan yang berkaitan dengan perempuan. Beliau telah meriwayatkan 378 Hadis yang dihafalnya dengan baik.

Ummu Salamah wafat ketika berumur lingkungan 84 tahun dan sempat bersama pemerintahan Khulafah ar-Rasyidin hingga pemerintahan Yazid bin Mu’awiyyah. Ummu Salamah sempat mengetahui berita mengenai pembunuhan ke atas cucu kesayangan Rasulullah S.A.W, Hussien bin Ali sehingga beliau pengsan kerana kesedihan. Tidak lama setelah peristiwa itu, Ummu Salamat wafat. Ummu Salamah adalah Ummul Mukminin yang paling akhir meninggal dunia. Abu Hurairah juga ikut melakukan solat jenazahnya di Baqi’.

Ummu Salamah meninggalkan dunia setelah memberikan contoh terbaik kepada semua kaum wanita dalam persoalan kesetiaannya sebagai isteri solehah, dalam persoalan jihad, dalam persoalan kecerdasan atau kebijaksanaan pemikiran dan keilmuan yang luas, seorang yang empati terhadap permasalahan orang di sekelilingnya dan keindahan kesabaran dan ketabahan yang tinggi yang dimilikinya.

Kesimpulan

“Dari Abdullah bin Amr, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah isteri yang solehah.””

(Hadis Riwayat Muslim)

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 30/7/2021

- Advertisement -