PEMULIH: Usaha bantu ringan beban rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Wanita Perikatan Nasional Johor merakamkan sekalung penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih serta menyambut baik pakej rangsangan ekonomi kelapan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

Ketua Penerangannya, Normala Sudirman berkata, peruntukan sebanyak RM150 bilion yang diberikan dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) telah meletakkan tiga fokus utama iaitu meneruskan agenda prihatin rakyat, menyokong perniagaan dan meningkatkan vaksinasi amat dihargai dan memberikan kegembiraan buat rakyat Malaysia.

- Advertisement -

Katanya, PEMULIH membuktikan keprihatinan Perdana Menteri yang sentiasa prihatin menyelami denyut nadi kesusahan rakyat juga keresahan rakyat serta cakna khususnya bagi golongan miskin tegar, para peniaga kecil-kecilan dan golongan yang berpendapatan harian.

Beliau berkata, pihaknya juga berasa gembira terhadap pendirian kerajaan serta keprihatinan terhadap  golongan M40, T20 dan usahawan mikro juga yang bakal diberikan.

Katanya, bantuan seperti moratorium, i-Citra dan penangguhan pinjaman pendidikan buat anak muda adalah suatu langkah yang tepat di saat rakyat berdepan dengan pandemik Covid-19 dan berada dalam kesusahan.

“Wanita Perikatan Nasional Negeri Johor mengharapkan keseluruhan lapan bantuan pakej rangsangan ekonomi ini dapat mengurangkan beban yang dipikul oleh rakyat dalam mengharungi pandemik Covid-19 ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, pihaknya menyeru semua pihak dapat memberikan komitmen yang padu dan bekerjasama dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan berusaha secara kolektif menangani pandemik itu secara kolektif dengan gemblengan semua pihak.

Katanya lagi, Wanita Perikatan Nasional Johor juga berharap agar dengan kerjasama antara  pemimpin dan rakyat, serta pelbagai agensi kerajaan serta NGO, rakyat Malaysia akan dapat mencapai imuniti kelompok pada hujung tahun ini secara optimum tanpa berbelah bahagi.

“Wanita Perikatan Nasional Negeri Johor optimis dan percaya, berkat usaha bersepadu dan tindakan kerajaan yang serius  dalam membantu rakyat serta prihatin terhadap nasib golongan rakyat marhaen, negara kita akan dikurniakan rezeki yang melimpah ruah oleh Yang Maha Esa,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 7/7/2021

- Advertisement -