Kerajaan negeri sedia bantu tanpa kibar bendera – Sanusi

- Advertisement -

KULIM: “Mereka ini tak ada kerja apa nak buat. Suruh orang naikkan bendera putih. Ada pemimpin pembangkang yang pi tolong penaik bendera putih di rumah orang.

“Itu bukan kerja wakil rakyat. Itu kerja orang tidak cerdik. Tolonglah bagi cerdik sikit.

“Ada saluran rasmi untuk minta bantuan. Bendera putih itu tanda kalah,” ujar Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor pada sidang media ketika lawatan ke Politeknik Sultanah Bahiyah hari ini.

Kata beliau bendera putih berlaku pada dua situasi iaitu ketika perang diangkat sebagai tanda kalah (menyerah diri), selain itu tuala putih dilempar oleh jurulatih ke tengah gelanggang perlawanan tinju apabila peninju tidak berupaya lagi meneruskan perlawanan.

- Advertisement -

“Jadi takkan kalah dah, lawanlah lagi. Jangan tunjuk kalah awal sangat,” ujarnya.

Sedangkan kata beliau, kerajaan negeri sedia membantu tanpa perlu kibar bendera tidak kira sama ada berwarna biru, merah, hijau, kuning atau lain-lain.

“Kerajaan tidak ada warna. Insya-Allah itu azam saya dan di mana-mana pun memang macam itu,” kata beliau.

Oleh itu beliau menasihatkan orang ramai tidak mudah terpengaruhi dengan propaganda politik yang semata-semata membina presepsi kononnya kerajaan gagal.

Beliau berkata, sehingga sekarang kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya mendepani masalah pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak awal tahun lalu.

Menurut beliau golongan itu cuba mencipta persepsi kepada rakyat kononnya kerajaan sekarang gagal terutama mengurus pandemik Covid-19.

Sebaliknya Menteri Besar berkata, kerajaan negeri menyediakan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) sebagai saluran orang ramai untuk memohon bantuan.

Orang ramai katanya boleh menghubungi PKOB dan PKWR masing-masing dan bantuan akan segera sampai ke sasarannya.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri menyalur RM20,000 peruntukan untuk membantu 830 pelajar Politeknik Sultanah Bahiyah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan DiPerketatkan (PKPD).

“Sehingga kini PKPD Politeknik Sultanah Bahiyah berjalan lancar. Pelajar komited mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Daripada 830 orang pelajar, ujian saringan akhir mendapati 40 daripadanya positif namun pengawasan pergerakan tetap diadakan untuk memastikan ia betul-betul bebas,” kata beliau.

Manakala PKPD yang dikenakan terhadap Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok yang membabitkan 2,041 pelajar telah tamat.

“Saya mengucap terima kasih kepada semua yang terlibat sama ada anggota Pertahanan Awam (APAM), Rela, Polis Diraja Malaysia (PDRM), tentera, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain yang membantu sepanjang PKP dikuatkuasakan,” kata beliau.

Turut hadir pada lawatan itu anggota-anggota Exco kerajaan negeri Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali, Halimaton Shaadiah Saad dan Pegawai Daerah Kulim, Abdul Bari Abdullah. – HARAKAHDAILY 1/7/2021

- Advertisement -