Penduduk putus keperluan harian perlu maklum segera

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Mana-mana penduduk yang kehabisan keperluan harian berikutan penularan pandemik Covid-19 perlu memaklumkan segera kepada penghulu atau Pejabat Pusat Khidmat DUN (PKD).

Langkah itu penting memandangkan penghulu tidak dapat mengesan kesemua penduduk yang berdepan kesukaran menyediakan keperluan harian keluarga.

Penghulu Mukim Pulau Kundor Rosli Mat Hussin berkata, penduduk terbabit perlu mengambil inisiatif memaklumkan segera kepada penghulu atau pimpinan masyarakat tempatan.

- Advertisement -

Katanya, dalam situasi sekarang bukan sahaja orang miskin yang terjejas kerana ada penduduk tidak bekerja disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Kalau senarai penduduk miskin ada pada PKD, namun penduduk yang tidak dapat bekerja disebabkan PKP tidak semuanya dapat dikesan,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga armalah di Kampung Pantai Kundur hari ini.

Hadir sama pengawai khas Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Muhammad Abdul Munib Zakaria. Mereka memberi sumbangan makanan dan wang kepada penduduk terbabit Rohaya Che Samah, 50.

Sebelum ini tular di media sosial penduduk berkenaan memasang bendera putih di pagar rumah selepas terputus bekalan makanan.

Rohaya sebelum ini bekerja mengambil upah mewarna batik, sekarang hilang pendapatan akibat pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP 3.0.

“Saya tidak tahu sama ada tindakan kibar bendera putih ini betul atau tidak, tetapi saya lakukannya demi kami keluarga kerana kami terputus bekalan makanan selama tiga hari dan terpaksa makan biskut.

“Saya hanya mengambil upah mewarna batik dan paling banyak sehari tujuh helai sahaja dapat disiapkan sebelum ini.

“Saya kibarkan bendera sejak pagi tadi selepas disaran adik perempuan saya setelah menceritakan keperitan yang dihadapi saya ketika ini,” katanya yang mempunyai enam anak.

Beliau juga memberitahu baru berpindah ke Pulau Kundor atas faktor mencari peluang pekerjaan.

Rohaya juga mengaku tidak dapat memohon dan meminta bantuan daripada mana-mana kerana tidak mempunyai dokumen penceraian yang sah.

“Saya tidak mempunyai dokumen penceraiaan yang sah kerana bekas suami saya tidak mahu beri kerjasama untuk menyelesaikan hal-hal berkaitan.

“Sebelum ini anak-anak ada hulur duit bulanan tetapi sejak pelaksanaan PKP mereka tidak dapat menghulurkan duit bulanan kerana mereka pun terkesan dengan keadaan sekarang,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/6/2021

- Advertisement -