Tidak perlu bimbang ambil vaksin – Tok Batin

- Advertisement -

SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

KUALA KRAI: Seramai sembilan penduduk masyarakat Orang Asli dari Kampung Keluat dekat sini menerima vaksin bagi dos pertama semalam.

Suntikan pertama dimulakan Tok Batin Kampung Keluat, Kamal Gadong, 46, kemudian diikuti ibu dan isterinya serta jiran yang terdekat.

Program bersejarah itu turut disaksikan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Ahmad Amzad Hashim. Hadir hadir ahli Parlimen Kuala Krai Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman dan Adun Guchil Hilmi Abdullah.

- Advertisement -

Sebahagian penduduk Orang Asli divaksinasikan sempena Program Outreach Vaksinasi Covid-19 yang diadakan di DUN Guchil.

Sementara itu Kamal ketika ditemui mengucapkan terima kasih kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Adun Guchil, MOSTI dan semua pihak yang menjayakan program berkenaan.

Katanya, jika tidak dibantu mereka amat sukar untuk keluar menerima vaksin.

“Kalau hendak keluar ke bandar Gua Musang sekurang-kurangnya perlu ada RM150 dan kalau hendak ke Kuala Krai lagi jauh,” ujarnya ketika ditemui.

Beliau turut memberitahu orang ramai tidak perlu bimbang dengan pengambilan
vaksin berkenaan kerana tidak ada sebarang kesan yang berlaku.

“Langsung tidak sakit pun, jangan bimbang tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan,” ujarnya.

Amzad pula berkata masyarakat Orang Asli tetap mendapat hak untuk menerima vaksin sebagaimana kaum lain juga.

Katanya juga vaksin CanSino dan Johnson & Johnson (J&J) sudah diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi kegunaan penduduk di kawasan yang sukar dimasuki.

“Kedua-dua vaksin itu hanya memerlukan satu dos suntikan yang dijangka tiba pada hujung Julai ini,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 28/6/2021

- Advertisement -