Peranan EQ bagi mengoptimumkan produktiviti dan jalinan hubungan

- Advertisement -

oleh Azizan Mohamed Isa dan Dr Rosnani Zakaria

Pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) yang diwartakan pada 1 Jun 2021 menyaksikan penutupan sektor sosial dan ekonomi negara. Bagi perkhidmatan awam, kaedah Bekerja Dari Rumah (BDR) dilaksanakan sepenuhnya berbanding sebelum ini iaitu 80 peratus secara BDR dengan sistem penggiliran.

Walaupun BDR telah menjadi amalan pekerja sejak pandemik Covid-19 melanda negara, kemampuan pekerja untuk menerima perubahan dan membuat penyesuaian masih lagi menimbulkan tanda tanya.

- Advertisement -

Transisi persekitaran bekerja yang dahulunya berpusat di pejabat, kini telah berubah lokasi ke tempat kediaman. Fokus dan peranan serta tanggungjawab kian bertambah, bukan sahaja sebagai pekerja tetapi juga sebagai suami/isteri atau ibu/bapa, penjaga, anak dan sebagainya.
Cabaran utama BDR adalah memberi tumpuan sewaktu bekerja dengan gangguan sedia ada di rumah, megekalkan produktiviti dan berhubung secara berkesan dengan rakan sekerja secara alam maya.

Masih ramai pekerja yang tidak dapat mengenal pasti rutin atau jadual kerja yang bersesuaian, sukar untuk memilih keutamaan antara tugasan dan urusan rumahtangga dan ada juga segelintir daripada mereka ini yang mengalami perasaan merasa terisolasi.

Pekerja dihimpit di dalam situasi terhimpit dengan pertembungan tingkah laku, pola pemikiran dan nilai akibat kewujudan kepelbagaian peranan yang dipikul, sehingga menimbulkan kesulitan dalam melakukan suatu tindakan ataupun dalam mengambil keputusan. Justeru terjadinya/terwujudnya role conflict (pertikaian tugasan) dalam memenuhi tuntutan dan melaksanakan tugasan.

Ketidakupayaan mengadaptasi dengan perubahaan dan mengimbangi peranan akan memberikan impak dari segi produktiviti, minda dan emosi pekerja. Pekerja akan mengalami stres, burnout sehingga menyebabkan keresahan (anxiety) dan kemurungan (depression). Keresahan dan kemurungan ini akan menjejaskan kesihatan mental jika tidak ditangani pada peringkat awal.

Perkara ini perlu dibendung sebelum parah, memandangkan penyakit mental dijangka menjadi masalah kesihatan kedua paling serius selepas penyakit jantung bagi rakyat Malaysia pada tahun 2020.

Lebih membimbangkan lagi, berdasarkan tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), mendapati tiga daripada setiap 10 orang dewasa berusia 16 tahun dan ke atas di negara ini akan mengalami masalah kesihatan mental.

Persoalannya bagaimanakah cara untuk menangani cabaran dan konflik tersebut? Salah satu kaedah yang dicadangkan adalah melalui pengurusan emosi dari sudut pemantapan kecerdasan emosi (EQ) pekerja.

Pengertian EQ merangkumi aspek persepsi, penilaian, dan memahami emosi secara tepat. Definisi EQ adalah keupayaan untuk memahami diri sendiri, berempati terhadap perasaan orang lain, membuat penilaian yang tepat untuk memandu pemikiran dan tingkah laku yang sewajarnya.

Konsep EQ telah diaplikasikan secara meluas di dalam kajian pengurusan. Banyak dapatan kajian menunjukkan hubungan yang positif di antara EQ dengan faktor-faktor kecemerlangan organisasi seperti produktiviti, prestasi, komitmen, kepuasan pekerjaan, kemahiran sosial dan kreativiti.

Pekerja yang mempunyai tahap EQ yang tinggi memiliki kemampuan mentaakul (reasoning capacities), mengenal pasti, memahami dan mengurus emosi dan mengadaptasi kepada perubahan yang berlaku di sekelilingnya. Justeru berupaya menangani cabaran dan mengendalikan konflik dengan baik.

Terdapat beberapa saranan yang boleh dijadikan panduan untuk mengatasi cabaran dalam BDR. Bagi pihak pekerja, antaranya keperluan untuk menghadkan media sosial dan masa melihat skrin, menjalankan aktiviti luar rumah sekurang-kurangnya 20 minit setiap hari, mengisi masa lapang dengan aktiviti kegemaran dan menjadikan self-care sebagai rutin harian.

Di peringkat majikan pula, giatkan usaha untuk mengubah budaya kerja yang mana setiap pekerja merasa selamat untuk meluahkan keluhan, mewujudkan program kecergasan untuk pekerja, memberi fokus kepada intervensi peringkat awal supaya pekerja berupaya untuk menangani stress dan keresahan dengan efektif, memberi autonomi dan jadual kerja yang fleksibel.

Firma konsultan pengurusan terkenal, McKinsey & Company menjangkakan peningkatan permintaan terhadap pekerja yang mempunyai kemahiran dari segi teknologi, sosial, emosi dan kognitif pada tahun 2030. Pastinya, keperluan EQ akan kekal relevan dan menjadi keutaaman memandangkan kita bakal melangkah ke era pasca Covid-19 apabila pandemik ini berakhir.
Kecerdasan emosi adalah keupayaan yang boleh dipelajari, diajar dan dimiliki setiap individu.

Justeru, pekerja perlu mengambil inisiatif mengukuhkan tahap EQ bagi mendepani fasa baharu yang lebih mencabar kelak. Majikan juga perlu proaktif untuk menyediakan latihan yang bersesuaian bagi meningkatkan tahap kecerdasan emosi para pekerja.

Walaupun begitu, mereka yang mempunyai risiko untuk mendapat tekanan emosi yang serius memerlukan rawatan daripada ahli perubatan yang sepatutnya.

Azizan Mohamed Isa adalah Pensyarah di Jabatan Pengurusan dan Keusahawanan, UniKL Business School dan Dr Rosnani Zakaria adalah Pensyarah Perubatan, Pakar Perubatan Keluarga di Universiti Sains Malaysia.

- Advertisement -