‘Pernah dapat udang RM700 sehari’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Usah sembang tahu mengenai nelayan sekiranya diri sendiri belum tentu memahami selok belok pekerjaan sebagai nelayan, kata Ketua Nelayan Unit Sungai Batu, Zakaria Ismail.

Menurutnya, masih ramai yang belum faham bagaimana air pasang surut laut bergerak, namun mahu mengkritik beliau mengenai pekerjaan itu.

- Advertisement -

Kata Zakaria, beliau menyarankan kepada pihak yang kononnya faham tentang kesusahan nelayan, belajar terlebih dahulu mengenainya dan mengkaji sistem hidraulik.

“Banyak orang tak faham. Sebab itu saya cakap, kalau orang tak faham nelayan, tak boleh cakap tentang nelayan.

“Belajar dulu, kaji dulu sistem hidraulik, arus laut. Itu pun sudah cukup untuk buat paper PhD.

“Itu yang saya nak cakapkan kepada tuan-tuan yang di luar sana yang selalu duduk mengkritik saya, tidak apa. Belajar dulu jadi nelayan.

“Tengok macam mana, kalau diri sendiri boleh tak mabuk dalam masa 1 jam, Alhamdulillah,” ujarnya dalam sesi 1 Jam Bersama Alam Siri ke-19, Penambakan Laut dan Kesannya kepada Nelayan, semalam.

Mengulas lanjut kata Zakaria, nelayan hari ini, terutamanya di kawasannya sudah tidak menggunakan sampan yang diperbuat daripada papan, mereka menggunakan bot yang diperbuat daripada fiberglass.

Bahkan, kebanyakan enjin yang digunakan adalah 115 kuasa kuda, malah Jabatan Perikanan sudah memberi kebenaran untuk menggunakan enjin sehingga 120 kuasa kuda, katanya.

“Jadi makna kata kami sudah seiring dengan perkembangan teknologi, dan kami juga sudah menggunakan alat solar untuk mengesan hidupan laut di dalam laut, kami bukan bercakap kosong,” tambahnya.

Mengulas mengenai hasilan laut yang diperoleh nelayan di Selatan Pulau Pinang, kata Zakaria, mereka mendapat hasil yang begitu banyak sejak sekian lama menjadi nelayan di situ.

Malah, beliau beberapa kali mendapat hasil udang berbelas kilo dengan harga jualan mencecah RM700 sehari.

“Kami mendapat hasilan laut yang begitu banyak, dari dahulu lagi semasa saya kecil sehingga sekarang, kami selalu pergi ke kawasan itu.

“Saya dari kecil sehingga besar memang saya tidak pergi ke tempat lain, saya tidak tahu hendak pergi tempat lain.

“Kawasan ini sahajalah yang saya tahu memasang pukat mencari udang. Saya pernah dapat berbelas kilo. Hasilan dia sampai RM700 sehari.

“RM700 kalau 3 hari sudah berapa? RM2,000 lebih. Sebab itu saya kata, kawasan ini paling saya sayang sekali.

“Kawasan ini kawasan emas yang paling kuat dengan hasilan laut, terutamanya udang besar.

“Tanyalah di kawasan Pulau Pinang, di mana lagi sekarang untuk mendapatkan udang besar?

“Hanya di kawasan sini, di kawasan Pulau Pinang Selatan,” ujarnya.

Baru-baru ini, tular beberapa keping poster di media sosial mendakwa bahawa hasil laut yang banyak seperti yang diceritakan Zakaria adalah satu penipuan. – HARAKAHDAILY 25/6/2021

- Advertisement -