Selepas Naftali Bennett angkat sumpah PM, rejim zionis serang Gaza

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI

- Advertisement -

SEHARI selepas Naftali Bennett mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri rejim zionis Israel, tentera rejim zionis Israel melancarkan serangan udara ke atas Semenanjung Gaza pada lewat malam tersebut, satu tindakan yang boleh dianggap mencabuli gencatan senjata yang dipersetujui dengan alasan yang tidak masuk akal iaitu kerana belon yang dilepaskan dari wilayah Palestin.

Dengan lebih 200 nyawa rakyat Palestin terkorban dan lebih 2,000 yang lain cedera ketika berlangsungnya serangan bertali arus tentera rejim zionis Israel selama 11 hari ke atas Semenanjung Gaza lebih kurang sebulan yang lalu, nampaknya rejim zionis Israel langsung tidak menghiraukan kecaman dan kutukan dunia terhadap tindakan kejam dan zalim mereka apatah lagi menghiraukan nyawa rakyat Palestin yang dijajah mereka.

Dalam masa yang sama, kerajaan baharu rejim zionis Israel turut meluluskan perarakan Flag March untuk kumpulan berhaluan kanan ultra zionis yahudi melalui timur bandar lama Baitul Maqdis yang didiami oleh majoriti rakyat Palestin di mana ia dibantah seluruh rakyat Palestin baik di Tebing Barat mahupun Semenanjung Gaza.

Ternyata perarakan tersebut mengundang konfrantasi dan telah tercetus bantahan seterusnya pertembungan antara kumpulan radikal tersebut dengan rakyat Palestin. Lebih 17 orang rakyat Palestin ditangkap kerana membantah perarakan tersebut dan ramai yang cedera kerana dikasari oleh polis dan tentera rejim zionis Israel termasuk oleh kumpulan radikal tersebut.

Kumpulan radikal ultra zionis yahudi tersebut tersebut turut melaungkan death to arabs dan kata-kata kejian terhadap rakyat Palestin termasuk terhadap Islam. Perarakan tersebut semestinya menambahkan lagi kehangatan konflik Palestin-Israel yang sememangnya sedang memuncak ketika ini.

Rejim zionis Israel seharusnya dikenakan segala bentuk sekatan terutamanya sekatan ekonomi oleh PBB dan diambil tindakan undang-undang oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana melakukan jenayah perang terhadap Palestin dan rakyatnya.

Doakan untuk Palestin dan rakyatnya agar diberikan kemenangan dan merdeka daripada penjajahan rejim zionis Israel selama-lamanya. – HARAKAHDAILY 17/6/2021

Kredit: Al Jazeera Chanel, Alarabiya Palestine, Gaza Now.

- Advertisement -