Ahli politik tidak bersatu sukarkan hadapi COVID-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli politik masih tidak bersatu menjadi antara sebab negara belum dapat keluar dari krisis COVID-19 yang sebenarnya menjadi musuh kepada semua pihak ketika ini.

Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, prasyarat utama perlu diletak seluruh rakyat dan semua pihak ketika ini adalah kesatuan untuk menghadapi musuh tidak kelihatan itu.

- Advertisement -

Beliau menarik contoh kesatuan HAMAS dan FATAH di Palestin yang sebelumnya merupakan dua pihak bertelagah, tetapi dengan kesatuan telah berjaya menghadapi rejim Zionis Israel di Gaza.

“Kalau nampak kita kata masih kita bertelagah dan kita melihat masing-masing nak menuding jari, dan selalu diungkit gagal dan sebagainya, nampak kita sendiri tidak tahu tidak kenal lagi musuh di hadapan kita,” ujarnya.

Untuk itu tegasnya, negara juga tidak perlu mengembalikan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) sebaliknya memperluaskan peranan dan fungsi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat.

Malah katanya, Kerajaan Persekutuan telahpun mengemukakan Pelan Pemulihan Negara bagi fasa 1 hingga 4 sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin.

“Kalau dikatakan ‘kerajaan gagal’, itu saya nampak yang gagal itu ialah mereka yang bebal melihat apa yang sedang berlaku ini dan mereka tidak dapat berfungsi bersama di semua peringkat. 

“Istilah ‘kerajaan gagal’ itu seolah seperti tidak menghargai seluruh kakitangan kerajaan hari ini khususnya ‘frontliners’ kita KKM, Rela, Polis yang bekerja maknanya. Masya-Allah saya lihat sendirilah, saya di Sik sendiri di mana-mana kita tengok.

“Mereka bertungkus lumus 24 jam menguruskan pandemik ini, menguruskan program vaksinisasi kebangsaan. Jadi kalau kita kata gagal maknanya kita seolah-olah menafikan apa yang sedang mereka khidmat. Mereka sedang menabur segala kudrat untuk membantu rakyat kita hari ini.

“Jadi saya menegaskan kerajaan sekarang ini sedang dalam landasan yang betul untuk mengurus krisis kita ini. Dan paling penting yang saya sebut tadi ialah kita kena bersatu dalam tempoh ini. 

“Kalau kata Parlimen, disebut oleh Perdana Menteri dalam fasa 3 ini, insya-Allah akan dibuka dan akan dapat difungsikan semula seperti yang sebelum ini,” ujar beliau.

Tambah beliau, pihak kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah menguruskan program vaksinasi dengan langkah maksimum serta semampunya.

Di mana menurutnya pada ketika ini, vaksinasi harian sudah mencapai 200,000 penerima dengan susunan jadual dan fasanya terus berlangsung dengan baik di seluruh negara.

Adapun isu-isu terpencil kata Tarmizi, tidak seharusnya menjadi hukuman menyeluruh ke atas usaha tersebut di sebalik pelbagai cara sedang dilaksanakan untuk mempertingkatkan program tersebut.

Antara sedang dikembangkan kerajaan jelasnya, akan mengaktifkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di kawasan industri dan secara kaedah pandu lalu serta program di masjid dan surau.

“Perkara ini juga boleh dilakukan oleh pihak pembangkang. Maknanya kena ada satu suara yang kuat sebab kita juga menghadapi kempen antivaksin juga agak kuat termasuk di kampung-kampung. 

“Maklumlah benda ini benda yang baru, benda yang kita tak pernah pun laksana dalam tempoh kita merdeka lebih puluhan tahun ini. Tetapi kena ingat juga kita Malaysia ini antara yang terbaik dalam program vaksinasi kita ini berbanding negara-negara jiran dan sebagainya.

“Jadi kita ambil masa ya dan diberi keyakinan oleh Perdana Menteri bahawa maknanya dalam sampai hujung tahun ini pelan untuk kita memberi vaksin kepada 80 peratus penduduk Malaysia itu akan dapat dilaksanakan,” ujarnya.

Tegas beliau, penyataan Perdana Menteri juga menunjukkan beliau tidak menutup ruang demokrasi, tetapi meminta tempoh yang ianya boleh disabarkan oleh semua pihak untuk seketika sahaja. – HARAKAHDAILY 17/6/2021

- Advertisement -