Program vaksinasi kunci pulih krisis kesihatan, ekonomi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan kira-kira 53 juta dos vaksin untuk mencapai sasaran 70 peratus daripada jumlah penduduk negara ini menerima suntikan vaksin Covid-19.

Langkah itu boleh menjadi kenyataan apabila kadar harian program vaksinasi dipertingkatkan kepada 250,000 hingga 300,000 suntikan sehari, mulai Julai depan.

Pakar ekonomi dari Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, berdasarkan perkembangan terkini di peringkat dunia, banyak negara ekonomi berkembang selepas melakukan vaksinasi secara besar-besaran.

- Advertisement -

Antaranya kata beliau ekonomi Amerika Syarikat (AS) berkembang kepada 6.4 peratus pada suku pertama tahun ini.

“Begitu juga China sebagai negara pertama berdepan krisis Covid-19 awal tahun lepas juga berjaya melonjakkan semula ekonomi mereka kepada 18.3 persen suku pertama tahun ini.

“Malah di negara itu lebih 680 juta dos sudah diberikan kepada rakyat. China berjaya menyelesaikan suntikan 100 juta dos kepada rakyatnya pada Mei lalu,” katanya pada kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun di Malaysia sehingga sekarang hampir empat juta penduduk sudah menerima suntikan, di mana seramai 1.2 juta sudah menerima suntikan penuh.

Menurutnya juga usaha kerajaan membawa masuk lebih banyak vaksin ke negara ini dapat membantu seramai mungkin rakyat Malaysia divaksinasi.

Dr Anuar Shah yang juga pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UPM berkata, kerajaan perlu mempercepatkan pemberian vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Kata beliau program itu menjadi satu-satu kunci bagi pemulihan krisis kesihatan dan ekonomi negara seperti yang berlaku sekarang.

Situasi itu dapat dilihat berdasar Kajian Selidik Kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 terhadap isi rumah dan perniagaan.

Kajian Kementerian Kewangan Malaysia sebelum ini menunjukkan PKP 1.0 menggugat mata pencarian 2.8 juta penduduk yang bekerja sendiri atau mendapat upah harian.

Selain itu 82 peratus pekerja sektor swasta hanya ada simpanan simpanan untuk dua bulan, 68 peratus perniagaan tidak ada penjualan atau hasil semasa PKP 1.0.

Kajian juga mendapati 42.5 peratus perniagaan memerlukan lebih enam bulan untuk pulih semula.

Dr Anuar Shah juga berkata, situasi yang berlaku sekarang memperlihatkan tercetusnya pertembungan antara kepentingan kesihatan dan ekonomi.

“Bagaimanapun peningkatan kadar kes harian Covid-19 pasti akan melumpuhkan sistem kesihatan negara di mana hospital tidak dapat menampung jumlah pesakit khusus pesakit yang memerlukan bantuan alat pernafasan,” ujarnya.

Oleh itu katanya kerajaan perlu mempertingkatkan program vaksinasi bagi memulihkan semula ekonomi dan secara tidak langsung dapat menarik perhatian pelabur. – HARAKAHDAILY 12/6/2021

- Advertisement -