KOTA BHARU: Hasrat kerajaan Pulau Pinang untuk meneruskan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) akan memberikan kesan buruk terhadap industri perikanan di negeri itu serta turut menjejaskan alam sekitar.
Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata pendirian kerajaan negeri untuk meneruskan projek itu memperlihatkan mereka tidak mengambil berat teguran dan pandangan daripada pakar, pemegang taruh, badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis-aktivis alam sekitar.
Che Abdullah berkata walaupun Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow sendiri mengakui bahawa projek PSR ini akan memberi kesan kepada alam sekitar, namun dengan angkuh beliau masih lagi berkeras untuk meneruskannya.
“PSR yang akan diteruskan ini menjadi malapetaka kepada nelayan di Pulau Pinang secara khususnya dan menjejaskan sektor perikanan negara secara amnya.
“MAFI sedang berusaha keras bersama-sama pelbagai pihak menambah baik solusi untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) ikan negara, kerajaan Pulau Pinang tanpa rasa bersalah mengumumkan untuk meneruskan projek ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Che Abdullah yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata projek PSR itu seperti yang dijelaskan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum ini Datuk Salahuddin Ayub, di Parlimen pada 16 Julai 2019, akan menjejaskan seramai 4,996 orang nelayan di Pulau Pinang.
“Daripada jumlah itu, seramai 1,422 orang adalah nelayan tradisional Zon ‘A’. Selain itu projek tersebut juga menjejaskan pendaratan perikanan tangkapan marin di Pulau Pinang sebanyak 51,184 tan metrik atau nilaiannya RM525 juta setahun akibat kemusnahan kekal,” katanya.
Che Abdullah berkata projek tersebut turut memberikan kesan kepada 511 penternak akuakultur ataupun ikan marin dengan pengeluaran 54,742 tan metrik yang bernilai RM1.67 bilion setahun.
“Kerajaan Pulau Pinang tanpa rasa bersalah mengumumkan untuk meneruskan projek itu keangkuhan dan ketidak prihatinan kerajaan ini lebih terserlah apabila bantahan daripada rakan mereka dalam Pakatan Harapan (PH) juga tidak diendahkan,” katanya.
Che Abdullah berkata perjumpaan beliau bersama Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang turut meminta agar MAFI memberi tekanan kepada Kerajaan Pulau Pinang agar tidak meneruskan projek tersebut.
“Saya juga berkesempatan untuk bertemu dan mendengar rintihan serta luahan daripada masyarakat dan pemimpin setempat, khususnya pemimpin masyarakat Melayu-Islam. Mereka melahirkan kebimbangan kelangsungan hidup mereka di pulau ini,” katanya. – BERNAMA