Ahli parlimen PAS potong 30 peratus elaun tiga bulan

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR: Ahli Parlimen dan Adun pembangkang digalakkan bersama membantu rakyat sebagai tanda solidariti ketika negara dilanda wabak Covid-19 sekarang.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali berkata, pembangkang juga sewajarnya menunjukkan keprihatinan dengan menyumbang sedikit gaji untuk Tabung Bencana Covid-19.

- Advertisement -

Katanya, Adun pembangkang juga mempunyai tanggungjawab kerana mereka dipilih rakyat.

“Jadi perlulah mereka membuktikan keprihatinan kepada rakyat terutama di saat penularan wabak sekarang,” ujar beliau hari ini.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan anggota kabinet setuju memotong tiga bulan gaji bermula Jun ini untuk disalur kepada Dana Bencana Covid-19.

Malah sehingga sekarang banyak kerajaan negeri mengambil langkah dengan memotong gaji menteri besar dan anggota-anggota Exco serta wakil rakyat.

Siti Ashah yang juga Adun Merbau Pulas berkata, amat wajar apa yang berlaku sekarang ditanggung bersama kerana negara belum pernah menerima musibah penularan wabak seperti sekarang.

“Bila susah, sama-sama rasa. Jangan cakap tak serupa bikin. Kita pun tidak tahu bila Covid ini akan berakhir,” katanya.

Semua Adun PAS Kedah baru-baru ini sepakat memotong sebanyak 70 peratus elaun Jun untuk bencana Covid-19 ini.

Pengerusi Kelab Penyokong Adun Kerajaan Kedah, Mohd Azam Abdul Samat berkata,
sebanyak 50 peratus akan disalurkan ke Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah, manakala 20 peratus lagi ke Tabung Bencana Covid PAS Pusat.

Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit seringkali dilihat turun padang memantau keadaan penduduk Jerai

Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit berkata, pembangkang juga wajar mencontohi tindakan menteri dan timbalan menteri yang sanggup berkorban tiga bulan gaji semata-semata mahu membantu rakyat.

“Takkan ahli parlimen pembangkang tidak ada perasaan prihatin untuk membantu rakyat ketika rakyat berdepan suasana sukar sekrang,” katanya.

Menurutnya juga, ahli parlimen PAS setuju memotong elaun sebanyak 30 peratus selama tiga bulan dan RM1,000 lagi disalur untuk Tabung Bencana Covid PAS Pusat. – HARAKAHDAILY 4/6/2021

- Advertisement -