Rakyat perlu akur titah Sultan Muhammad V

Ahmad Fathan Mahmood
- Advertisement -

KOTA BHARU: Titah Sultan Muhammad V supaya rakyat Kelantan tidak merentas sempadan negeri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang diharap mampu mengurangkan jangkitan pandemik Covid-19.

Begitu juga anak-anak perantau yang berada di negeri lain diingatkan menangguhkan rancangan pulang ke kampung sebagai usaha membendung jangkitan di samping mematuhi titah Sultan Kelantan.

- Advertisement -

Pengarah Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan, Ustaz Ahmad Fathan Mahmood berkata, peringatan baginda adalah untuk kebaikan rakyat ketika penularan wabak yang masih tinggi di Kelantan.

“Saya menyokong penuh nasihat tuanku kerana baginda gusar penularan Covid-19 dalam kalangan rakyat Kelantan sekarang masih tinggi.

“Titah baginda itu perlu diberi perhatian serius semua pihak terutamanya rakyat Kelantan yang bekerja di negeri lain supaya tidak pulang tanpa tiada urusan penting.

“Ini jelas menunjukkan sikap kasih dan prihatin Sultan Muhammad V kepada rakyat negeri ini sebagai usaha memutus rantaian penularan wabak,” katanya di sini.

Baru-baru ini Sultan Muhammad V mengingatkan rakyat Kelantan tidak merentas negeri bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Selain itu baginda juga meminta wakil-wakil rakyat memain peranan aktif bagi mengajak rakyat berdaftar bagi menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ahmad Fathan yang juga Adun Chempaka berkata, Sultan Kelantan juga berharap rakyat Kelantan mendaftar bagi mendapat suntikan vaksin Covid-19.

“Orang ramai kena merebut peluang sekarang mendaftar sebagai penerima vaksin memandangkan sehingga hari ini jumlah pendaftaran di Kelantan masih rendah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/6/2021

- Advertisement -