Bandar Kota Bharu sunyi selepas jam 8 malam

- Advertisement -

KOTA BHARU: Bandar Kota Bharu lengang tanpa kehadiran orang ramai bermula jam 8 malam selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 25 Mei lalu.

Suasana itu dapat dilihat sejak tiga hari lalu selepas bermula pelaksanaan PKP 3.0. Sedangkan sebelum ini suasana di pusat dan pinggir bandar Kota Bharu agak sibuk.

- Advertisement -

Kawasan yang sering menjadi tumpuan orang ramai sebelum ini termasuk Bandar Baru Lembah Sireh memandangkan kawasan tersebut terdapat pusat membeli belah AEON dan Tesco.

Begitu juga kawasan di pinggir bandar, di mana orang ramai keluar mencari keperluan keluarga selepas bekerja pada siang hari.

Sekarang menjelang waktu Maghrib orang ramai pulang ke rumah masing-masing. Malah restoran dan premis perniagaan lain juga mulai ditutup.

Orang ramai yang ditemui mengakui kawasan bandar agak sunyi sekarang selepas operasi perniagaan termasuk kedai-kedai makan hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 8 malam sahaja.

Malah ketika tinjauan Harakahdaily malam tadi didapati suasana begitu sunyi di sepanjang laluan utama ke pusat Bandar Kota Bharu.

Suasana itu dapat dilihat di Jalan Tok Hakim, Jalan Padang Garong, Jalan Kadir Adabi, Jalan Temenggong yang sebelum ini meriah dengan kehadiran kenderaan dari pelbagai arah.

Kelantan semalam mencatat jumlah kes harian Covid-19 paling banyak iaitu sebanyak 754 kes.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Kelantan sebanyak 24,723 kes. Selain itu terdapat empat kluster baharu direkodkan.

Kadar kebolehjangkitan (Rt) di negeri tersebut juga meningkat kepada 1.10 manakala Rt Nasional 1.17. – HARAKAHDAILY 28/5/2021

- Advertisement -