Pelajar akur UPSR dimansuh sepenuhnya

- Advertisement -

KOTA BHARU: Calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) terpaksa akur keputusan muktamad kerajaan memansuhkan ujian UPSR sepenuhnya mulai tahun ini.

Seorang calon UPSR, Wan Nurdamia Faiqah Wan Nordin berkata, hasratnya untuk menduduki peperiksaan itu tahun ini tidak kesampaian.

Namun katanya, pasti ada kebaikan di setiap keputusan yang dilakukan, apatah lagi dalam suasana pemdemik Covid-19 sekarang.

- Advertisement -
Wan Nurdamia Faiqah

“Amat menyedihkan sekali apabila pengumuman pemansuhan UPSR diumum hari ini, sedangkan sejak tahun lalu saya buat persiapan termasuk menghadiri kelas tuisyen secara atas talian.

“Saya amat berharap dapat mengambil peperiksaan UPSR. Sasaran saya dapat 6A, tetapi apakan daya UPSR sudah tiada. Apa pun kita kena terima kerana keadaan pandemik Covid-19 menular,” katanya ketika dihubungi.

Hari ini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memuktamadkan untuk memansuhkan UPSR mulai 2021.

Malah, Menteri Kanan Pendidikan Dato’ Dr Mohd Radzi Jidin ketika sidang media khas berkata, tiada peperiksaan ganti bagi ujian Murid Tahun 6 itu.

Sebaliknya kata beliau fokus utama kementerian untuk memperkasakan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).

Wan Nurdamia Faiqah juga berkata, cita-citanya hendak menjejaki kakaknya belajar di MRSM.

“Mungkin saya kena fokus kepada PBD dan PJSK pula selepas ini untuk dapat masuk ke sekolah berasrama,” ujarnya.

UPSR tidak diadakan sejak tahun lepas kerana penularan pandemik Covid-19. Malah pelajar lepasan tahun enam memohon belajar di tingkatan satu menggunakan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus.

Manakala pelajar yang memohon belajar di sekolah berasrama termasuk MRSM perlu menduduki pepriksaan khas.

Hafizah Asyikin

Seorang lagi pelajar Hafizah Asyikin, 13, dari Jalan Telipot berkata, beliau juga kecewa kerana tidak dapat menduduki UPSR tahun lepas kerana wabak Covid.

Bagaimanapun katanya, biarpun tidak dapat menduduki UPSR namun menjalani peperiksaan khas secara lisan dan bertulis ketika memohon memasuki Maahad Muhamadi Perempuan tahun lepas.

“Hasil peperiksaan itu saya berjaya mendapat tawaran belajar di Maahad Muhammadi Perempuan. Malah saya juga menduduki peperiksaan khas memasuki MRSM dan baharu mendapat tawaran semalam,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/4/2021

- Advertisement -