Kerajaan pertimbang vaksinasi remaja 12-17 tahun

- Advertisement -

ALOR SETAR: Lapan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh Kedah dikenal pasti sebagai tempat imunisasi Covid-19 fasa kedua yang akan memberi fokus kepada warga emas.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaludin berkata, selain itu empat hospital di negeri itu akan dijadikan PPV untuk penerima vaksin yang berisiko, alahan dan pernah mengalami tumpah darah sebelumnya.

“Empat hospital berkenaan iaitu Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, Hospital Kulim dan Hospital Sultanah Maliha (HSM) Langkawi,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi Kebangsaan peringkat Negeri Kedah, di Wisma Darul Aman semalam.

- Advertisement -

Lain-lain PPV antaranya Stadium Tertutup Sultan Abdul Halim, Dewan Kenangan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP), Dewan Bandaraya Kulim, Dewan Tunku Anum, Kubang Pasu dan Dewan Kenangan Tun Abdul Razak di Baling.

“Tujuh lagi yang akan berfungsi pada 3 Mei ini termasuk Dewan Seri Emas Polimas Jitra, Kompleks Sukan Komuniti Serdang, Dewan Cenderawasih Pekan Pendang, Dewan Al-Hana Sik, Dewan Serbaguna di Guar Chempedak, Dewan Tunku Putra Kuala Nerang dan Dewan Badminton Kompleks Sukan LADA, Kuah,” kata beliau.

Walau bagaimanapun kata beliau, peratus pendaftaran vaksinasi daripada kalangan warga emas di Kedah masih agak rendah iaitu hanya 33.6 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Tetapi di Sik pendaftaran vaksinasi warga emas sangat memberansangkan. Lebih 55 peratus mendaftar. Saya difahamkan ia hasil kerja kuat sukarelawan bersama jentera kerajaan mengadakan pendaftaran secara manual terutama kepada warga emas,” sambung beliau.

Setakat ini Kedah mencatat kira-kira 517,100 pendaftaran vaksinasi Covid-19 untuk 18 tahun ke atas dan mewakili 32 peratus dari sasaran keseluruhan.

Dalam perkembangan lain, Khairy tidak menolak kemungkinan vaksinasi tersebut akan dikenakan kepada remaja berumur 12 hingga 17 tahun berikutan terdapat banyak kes positif Covid yang melibatkan pelajar sekolah.

Sungguhpun begitu, pihaknya perlu menunggu pengesahan ujian sebelum ia dapat dilaksanakan di Malaysia.

“Namun buat masa ini guru-guru juga diberi keutamaan dan diletakkan di dalam sasaran penerima vaksin fasa kedua.

“Setakat ini seramai 460,116 guru telah disenaraikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Saya juga nak guru-guru di institusi pendidikan agama seperti pondok-pondok juga termasuk dalam fasa ini,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 28/4/2021

- Advertisement -