Varian virus SARS-CoV-2

- Advertisement -

DATA terbaru menunjukkan COVID-19 telah mengorbankan lebih dari 3 juta orang penduduk dunia. Peningkatan kes jangkitan di India (15.6 juta) kini melepasi jumlah kes di Brazil (14 juta), sementara Amerika Syarikat kekal pada kedudukan tangga teratas jumlah kes tertinggi di dunia dengan kes melepasi 31 juta (9,707 kes bagi seratus ribu orang penduduk).

Virus SARS-CoV-2 penyebab COVID-19, seperti virus-virus yang lain bermutasi secara berterusan. Terdapat beberapa jenis varian yang terhasil dari mutasi ini, kini dipantau dengan teliti bagi mendapatkan gambaran jelas tahap kebolehjangkitannya, keupayaannya menyebabkan jangkitan sama ada ringan, sederhana atau parah, kemampuannya untuk dikesan menggunakan alatan diagnostik sedia ada dan kesannya ke atas ubatan dan vaksin yang sedang digunapakai.

- Advertisement -

Varian virus dikategorikan sebagai di bawah pemerhatian (variant of concern) apabila ia dibimbangi sama ada boleh menyebabkan kebolehjangkitan yang tinggi, meningkatkan jumlah kematian, mampu mengelak dikenalpasti oleh sistem ketahanan badan dan berdaya tahan tinggi terhadap rawatan dan vaksin serta tidak lagi dapat dikesan menggunakan alatan diagnostik sedia ada.

Beberapa jenis varian SARS-CoV-2 telah diletakkan di bawah kategori ini. Varian B.1.1.7 yang asalnya ditemui di Kent, United Kingdom kini telah tersebar ke 126 negara. Sementara varian B.1.351 yang dikenalpasti di Afrika Selatan pada Disember 2020 telah menular ke lebih 67 negara. Varian P.1 yang dikenalpasti di Jepun, namun berasal dari Brazil telah dikesan di 43 negara dan varian B.1.427 and B.1.429, kedua-duanya telah dikesan di California, Amerika Syarikat pada bulan Februari yang lepas.

Terkini, varian B.1.617 dengan dua jenis mutasi dibimbangi menjadi penyebab utama peningkatan kes COVID-19 di India yang sekarang berada di tahap luar kawalan. Varian yang telah dikenalpasti pada 25 Mac yang lalu masih di bawah penyelidikan bagi mengenalpasti keupayaannya berbanding virus SARS-CoV-2 yang asal. Ia dilaporkan mengandungi mutasi L452R seperti varian California yang boleh meningkat kebolehjangkitan sebanyak 20 peratus dan mutasi E484K seperti pada varian Afrika Selatan dan Brazil yang membolehkan virus mengelak dari dikenalpasti oleh sistem ketahanan badan.

Mutasi E484K ini telah dikenalpasti mengakibatkan penurunan keberkesanan vaksin COVID-19 yang dihasilkan oleh AstraZeneca, Johnson and Johnson dan Novavax. Bagaimana pun Pfizer mengesahkan melalui ujian makmal, vaksin yang dikeluarkannya berkesan terhadap varian B.1.1.7 sementara Moderna yakin vaksin keluarannya berkesan terhadap kedua-dua jenis varian B.1.1.7 dan B.1.351. 

Berikutan dengan perkembangan ini, adalah menjadi keutamaan bagi semua negara untuk meningkat keupayaan saringan dan kemampuan mengenalpasti perkembangan varian virus SARS-CoV-2 melalui teknik penjujukan genom (genomic sequence). Ia adalah bagi membolehkan sebarang varian baru yang berbahaya dapat segera dikesan dan dibendung penyebarannya.

Bersempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, bersamalah kita memohon kepada Allah S.W.T agar ujian COVID-19 ini segera diangkat dari penduduk dunia dan diberikan kesembuhan kepada semua yang menderita jangkitan ini.

DR. HANI’AH ABDULLAH
Anti-infective virologist 
Alderley Park – HARAKAHDAILY 22/4/2021

Rujukan utama;
(i) Centers for Disease Control and Prevention (CDC) – About variants of the virus that causes COVID-19.
(ii) Burki, T., 2021. The Lancet, vol 397, Issue 10273. 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -