Tahniah dua pelajar Malaysia berjaya ke Harvard – Agong

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada dua pelajar Malaysia atas kecemerlangan diterima masuk ke Harvard College di Amerika Syarikat.

Baginda menzahirkan rasa suka cita dan bangga atas pencapaian cemerlang anak kelahiran Kuantan, Pahang, Muhammad Hamdi bin Ahmad Hakimi, dan Jarell Cheong Tze dari Kuala Lumpur, yang sekali gus menjulang negara di peringkat antarabangsa.

Titah baginda, kejayaan Muhammad Hamdi dan Jarell sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan individu yang berkualiti, berwibawa dan bertaraf antarabangsa.

- Advertisement -

Kejayaan ini titah baginda, turut membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di persada antarabangsa.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan semoga kejayaan mereka berdua menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para belia, untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan di dalam bidang masing-masing.

“Seri Paduka Baginda mengucapkan selamat maju jaya kepada Muhammad Hamdi dan Jarell serta mendoakan semoga mereka dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dan terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa di masa hadapan,” titah baginda melalui satu kenyataan yang dimuat naik melalui Facebook Istana Negara, hari ini.

Kedua-dua pelajar cemerlang ini merupakan produk sistem pendidikan kebangsaan dengan Muhammad Hamdi merupakan lulusan Sekolah Menengah Sains Alam Shah sebelum beralih ke A-Level di Kolej Tuanku Ja’afar sebagai Cendikiawan Bank Negara Kijang.

Manakala, Jarrell menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan A-Level di Sekolah Menengah Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur dan Sunway College, Petaling Jaya.

Difahamkan, selain kehebatan dalam bidang akademik, Jarell juga telah mewakili Malaysia dalam Sukan Sea Dancesport, bertanding di bawah bendera Malaysia di Olimpik Matematik Pasifik Asia dan bertanding dalam kejohanan catur antarabangsa.

Manakala, Muhammad Hamdi merupakan seorang pendebat yang juga telah memberikan tuisyen kepada pelajar sekolah menengah. Beliau lebih berfalsafah, membincangkan pandangan dunia dan pendapatnya mengenai isu masa kini.

Muhammad Hamdi dan Jarell bakal memasuki kelas sarjana bagi tahun 2025, yang mana masing-masing merancang untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan Ekonomi dan Matematik.

Kedua-dua pelajar ini menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia kerana terpilih di antara 1,968 pelajar dan melepasi tahap kelayakan ketat yang ditetapkan dari sejumlah 57,435 permohonan dari seluruh dunia.

Untuk rekod, Harvard College di Amerika Syarikat merupakan sekolah sarjana bagi Harvard University yang terkemuka dan antara terulung di dunia. – HARAKAHDAILY 15/4/2021

- Advertisement -