RM1.4 juta bantu petani, nelayan terjejas Covid-19

- Advertisement -

KOTA BHARU: Bukan sahaja peniaga bazar Ramadan yang terjejas dibantu kerajaan negeri, sebaliknya petani, nelayan dan penternak turut dibantu bagi menghadapi kesan penularan wabak Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, bantuan diberi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 1.0) dilaksanakan.

Katanya bantuan diberi kepada golongan terbabit yang terjejas berikutan penularan pandemik Covid-19.

- Advertisement -

Begitu juga kata beliau ketika PPK 2.0 bantuan disalurkan kerajaan Negeri Kelantan kepada golongan berkenaan.

“Sebanyak RM1.4 juta diperuntuk kerajaan bagi membantu petani, nelayan dan peladang yang terjejas.

“Malah agihan tersebut juga diberi kepada golongan penternak yang berdaftar di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar iaitu seramai 2,300 di mana mereka terjejas teruk,” katanya di sini.

Beliau berkata, ketika PKP penternak terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan sumber makanan, sedangkan harga dedak makanan haiwan meningkat.

Katanya, penternak terpaksa lakukan banyak usaha untuk mendapatkan dedak sebagai makanan haiwan peliharaan mereka.

“Kita beri sumbangan kepada mereka sebanyak RM200 kepada setiap penternak atau berbentuk dedak makanan.

“Peruntukan bagi membantu penternak tersebut kira-kira RM460,000 yang diagih kepada penternak terbabit,” ujarnya.

Selain itu peruntukan sebanyak RM900,000 bagi membantu nelayan yang bedaftar Jabatan Perikanan Negeri Kelantan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Menurutnya juga peruntukan bagi tujuan itu disediakan daripada bajet untuk menganjurkan pelbagai aktiviti tahun ini, namun tidak dapat dilaksanakan kerana pandemik Covid-19.

“Banyak program yang dirancang tidak dapat laksanakan termasuk karnival, ekspo dan pelbagai lagi. Jadi peruntukkan program berkenaan kita guna untuk membantu rakyat yang terjejas,” tambahnya.

Kerajaan negeri turut mengagihkan sebanyak 50,000 input pertanian bagi fasa pertama kepada petani, nelayan dan penternak. – HARAKAHDAILY 15/4/2021

- Advertisement -