Tiada kem politik di pejabat MB Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Urus tadbir Pejabat Menteri Besar Kedah kesal ucapan perwakilan Pemuda Umno Malaysia dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) Ahad lepas.

Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar Kedah, Dato’ Amirshah Siraj berkata, kenyataan seorang perwakilan Mohamad Fadzil Zolkifli dianggap tidak matang kerana mempalitkan Pejabat Menteri Besar.

Katanya Pejabat Menteri Besar Kedah tiada elemen segregasi politik, ideologi, perbezaan agama, kaum dan bukan alat untuk meminggirkan mana-mana pihak.

- Advertisement -

“Ini selaras dengan misi dan pendekatan Menteri Besar Kedah sendiri bahawa beliau merupakan Menteri Besar untuk semua bukannya Menteri Besar PAS,” katanya pada kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini Mohamad Fadzil yang juga Pegawai Khas Menteri Besar berucap pada PAU antara lain dilapor mendakwa isu layanan berbeza pentadbiran Menteri Besar Kedah.

Manakala Setiausaha Kerja Umno Kedah, Dato’ Ariffin Man pula mahu isu ucapan itu diselesaikan secara harmoni dan berhikmah.

Kata beliau berdasar penjelasan Mohamad Fadzil dia tidak berniat merujuk ucapan itu kepda Urustadbir Pejabat Menteri Besar Kedah.

“Sebaliknya ia pendekatan secara berseloroh mengenai perbualan yang berlaku antara beberapa penyokong PAS dengannya ketika menjalankan tugas di Wisma Darulaman,” katanya pada satu kenyataan.

Mengulas isu sama Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor turut menegur perwakilan tersebut yang dianggap menyebut perkara tidak benar dan tidak pernah berlaku.

Menurut beliau pihaknya sentiasa membina suasana kekeluargaan di pejabat Menteri Besar, di mana setiap Pegawai Khas Menteri Besar mewakili Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah bukannya membina kem politik parti masing-masing.

Walau pun pemegang jawatan itu ramai dalam kalangan PAS berbanding Umno dan Bersatu, namun mereka semua dilayan secara profesional.

“Di Pejabat Menteri Besar Kedah juga tidak seperti digambarkan dalam ucapan beliau itu dalam konteks hubungan antara kakitangan dan pegawai yang berlainan parti politik.

“Hubungan sewaktu kerja dalam satu pasukan seperti adik beradik, tidak ada kurang tidak ada lebih.

“Cuma bezanya dia dengan yang lain. Dia jarang ada di pejabat kerana melakukan tugasan di luar,” katanya di sini semalam. – HARAKAHDAILY 30/3/2021

- Advertisement -