Menceduk pengalaman politik dari KM Sabah

- Advertisement -

TERIMA kasih saya ucapkan kepada YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Sabah di atas kesudian menerima kunjungan kami pada hari kelmarin.

Pertemuan ini juga turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Senator Wan Ahmad Fayshal serta pimpinan-pimpinan Pemuda Perikatan Nasional dan Sabah yang lain. Pertemuan ini walaupun 1 jam 30 minit tetapi berlalu dengan cukup pantas.

Alhamdulillah kami berpeluang mendengar secara dekat cerita-cerita pengalaman menarik YAB Ketua Menteri Sabah mengenai kariernya di dalam dunia politik khususnya sepanjang 8 penggal beliau menjadi ADUN di Sabah. 8 penggal!

- Advertisement -

YAB turut berkongsikan kepada kami beberapa tips untuk ‘survive’ di dalam medan politik iaitu pertamanya ikhlas dan keduanya baik hati. Inilah prinsip beliau sepanjang menjadi ahli politik. YAB pada saya unik orangnya. Sifat kebapaan, tenang dan sentiasa mendengar membuatkan beliau berpengaruh dengan prestijnya yang tersendiri.

Lebih menarik lagi apabila melihatkan ketokohan YAB dalam mengurus kepelbagai serta perbezaan-perbezaan yang timbul sehingga Sabah menjadi negeri pertama yang berjaya membentuk sebuah Kerajaan Perikatan Nasional melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas daripada Pilihan Raya Negeri dan kekal stabil sehingga hari ini.

GRS di Sabah adalah bukti yang nyata bahawa sekiranya kita bersifat objektif, fokus dan ikhlas dengan agenda Perpaduan Ummah demi kebaikan rakyat yang lebih besar, muafakat politik tersebut adalah tidak mustahil.

Saya berharap agar seni politik yang menyatukan dan menguntungkan Bumiputera, Islam dan Melayu di Sabah dapat dizahirkan di Semenanjung Malaysia suatu hari nanti, insya-Allah. Kami doakan agar YAB diberikan taufiq serta inayah dalam melaksanakan tugas sebagai Ketua Menteri Sabah dan sentiasa berada di dalam keadaan sihat dan sejahtera.

YB SENATOR IR. TS. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 25/3/2021

- Advertisement -