Inisiatif untuk golongan belia dalam PEMERKASA

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH. Saya menyambut baik usaha kerajaan memperkenalkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) seperti yang diumumkan oleh YAB Tan Sri Dato’ Sri Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia, kelmarin.

Saya amat menghargai keprihatinan YAB Perdana Menteri yang turut merangkumkan agenda PEMERKASA untuk belia melalui Inisiatif Ke-19: Prihatin Belia. Peruntukan sebanyak RM376 juta yang disediakan dilihat mampu memperkukuhkan lagi inisiatif untuk belia, lanjutan daripada Belanjawan 2021.

Antara manfaat belia tersebut adalah menambahbaik inisiatif eBelia buat kali kedua kepada RM150, menjadikan keseluruhan peruntukan ini berjumlah RM300 juta yang akan memanfaatkan 2 juta belia keseluruhannya. 

Selain itu, Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar atau PEKB akan diperluas dengan tambahan peruntukan sebanyak RM10 juta menjadikan peruntukan keseluruhan tahun 2021 bagi program ini sebanyak RM21 juta. Inisiatif ini dijangka akan memberi manfaat kepada 1,800 orang belia dengan peluang latihan keusahawanan dan peralatan yang akan dibekalkan secara percuma bagi mengikuti bidang dan kursus yang disertai.

- Advertisement -

Di samping itu, penambahan peruntukan terhadap Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera dijangka akan dapat melahirkan 250 usahawan belia Bumiputera baharu. Manakala Program New Gen Entrepreneur Online Bootcamp akan diperkenalkan bagi tujuan latihan penyediaan serta bimbingan perniagaan secara dalam talian kepada 2,000 orang usahawan belia.

Bagi menyokong usahawan belia untuk mengembangkan lagi perniagaan, Skim Pembiayaan Mikro PEMERKASA-BELIA di bawah kelolaan Bank Simpanan Nasional (BSN) turut disediakan dengan kadar serendah 3 peratus. 

Saya menzahirkan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri dan melihat inisiatif ini akan dapat membantu belia yang terkesan akibat daripada COVID-19. Secara tidak langsung ia juga membantu industri sukan melalui bantuan dan insentif pembiayaan yang disediakan.

PEMERKASA merupakan satu program yang menyeluruh dan manfaat untuk belia juga turut terangkum di dalam inisiatif lain seperti Inisiatif ke-7: Pengekalan Pekerjaan dan Insentif Penggajian. Belia yang bekerja akan turut menikmati manfaat daripada inisiatif ini serta memastikan lebih ramai belia berada dalam pasaran buruh. Ini sekaligus dapat mengurangkan lagi kadar pengangguran belia. 

Sememangnya belia amat terkesan akibat COVID-19 dan inisiatif yang diumumkan YAB Perdana Menteri ini memberi kelegaan kepada kumpulan yang KBS kategorikan sebagai Belia Resah. Bantuan dan insentif yang disediakan membolehkan belia di dalam pasaran buruh terus terbela, belia di dalam industri gig turut menerima manfaat. Ia juga bagi memastikan kelangsungan perniagaan usahawan belia serta menggalakkan belia untuk terlibat sebagai usahawan.

Saya dan KBS menyokong sepenuhnya pelaksanaan PEMERKASA ini dan akan terus memperkasa Kolaborasi Rentas Kementerian bagi memastikan manfaat untuk belia benar-benar sampai kepada mereka.

Kepada semua belia di luar sana, rebut peluang dan inisiatif yang disediakan oleh kerajaan melalui PEMERKASA ini. Selain itu, saya juga ingin mengingatkan supaya para belia sentiasa menjaga keselamatan diri serta memastikan penularan COVID-19 dapat dibendung sepenuhnya.

“Kita Jaga Kita”

DATUK SERI REEZAL MERICAN NAINA MERICAN
Menteri Belia dan Sukan – HARAKAHDAILY 19/3/2021

- Advertisement -