Tourism Pahang lancar tema baharu ‘This Is Pahang’

- Advertisement -

KUANTAN: Tourism Pahang hari ini melancarkan tema baharu pelancongan negeri tersebut yang dikenali sebagai This Is Pahang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penularan pandemik Covid-19 menyaksikan kejatuhan drastik sektor pelancong di seluruh dunia termasuk di Pahang.

Katanya mengikut statistik kedatangan pelancong ke negeri itu pada tahun 2020 mencatat penurunan sebanyak 46.87 peratus.

- Advertisement -

“Jumlah pelancong pada 2019 sebanyak 13.99 juta orang dan tahun lepas turun kepada 7.43 juta,” katanya pada program program terbabit yang diadakan di Aqua Crystal Hall, Kolej Utama UCYP, Tanjung Lumpur dekat sini.

Menurutnya juga penurunan ketara jumlah pelancong tersebut menyebabkan kerugian anggaran perbelanjaan pelancong sebanyak RM5.8 bilion.

Oleh itu, kata beliau pelancaran program tersebut penting dalam usaha menentukan masa hadapan sektor pelancongan di Pahang.

Beliau turut berharap Pahang akan menjadi negeri paling ramai menerima kemasukan pelancong bukan sahaja dari dalam negeri, malah pelancong antarabangsa.

“Penjenamaan semula tema baharu dianggap amat bertepatan sebagai refleksi kepada 2020 yang dilihat amat mencabar serta menjadi wake up call kepada semua pihak agar bersama menggerakkan semula industri pelancongan di Pahang,” katanya.

Antara lokasi tarikan utama pelancong di Pahang termasuk Cameron Highlands, Genting Highland, Janda Baik, Gunung Tahan, Taman Negara, Gua Charas Kuantan dan Santuari Gajah Kuala Gandah. – HARAKAHDAILY 18/3/2021

- Advertisement -