Ad-Dhuha sumber kekuatan

Inspirasi Tok Guru Nik Aziz

- Advertisement -

BILA sebut solat Dhuha, ramai yang nampak ia adalah kunci murah rezeki. Awalnya saya juga fikir begitu. Tetapi setelah lama mengamalkan, saya belajar sesuatu yang baharu. Kita diajar untuk membaca surah ad-Dhuha dalam solat. Walaupun setahu saya tidak ada dalil, tapi itulah yang kebanyakan kita amalkan.

Bila menghayati bait-bait ayat surah itu, ianya sangat mendalam. Sesuai untuk mereka yang sedang down, putus asa dan sedih dengan nasib yang meminta.

- Advertisement -

Allah memujuk

Selepas Allah bersumpah dengan alam ciptaanNya pada ayat 1 dan 2, Dia memujuk kita dengan kata-kata positif:

“Tuhanmu tidak pernah membiarkanmu sendirian… dan tidak marah padamu…” 

(ad-Dhuha: 3)

Supaya kita tahu, kita bukan keseorangan. Allah sentiasa di sisi, bersedia membantu.

Allah merasionalkan

Kemudian Dia memberi harapan pada kita:

“Akhirat itu jauh lebih baik dari dunia ini…” 

(ad-Dhuha: 4)

Supaya kita faham, hidup ini hanya sementara. Sabar sekejap, untuk kebahagiaan abadi selepas mati.

Allah berjanji

Selepas itu, Allah menyatakan janji untuk membantu kita:

“Tuhanmu pasti akan memberikan kurniaNya padamu sehingga kamu redha…” 

(ad-Dhuha: 5)

Supaya terukir senyuman di bibir, percaya bahawa harapan itu sentiasa ada.

Allah mewajarkan

Seterusnya, Allah memberi bukti pertolonganNya selama ini yang pernah kita dapat:

“Bukankah sebelum ini kamu yatim, lalu Allah yang menjagamu?”

“Sebelum ini kamu sesat, Allahlah yang memberi petunjuk?”
 

“Sebelum ini kamu miskin, Allahlah yang memberi kamu kekayaan?” 

(ad-Dhuha: 6-8)

Ayat ini lebih khusus bagi memberi semangat kepada Baginda S.A.W menghadapi saat sukar dalam siri dakwahnya di Makkah. Namun, kita turut boleh mengambil pengajaran daripadanya.

Allah berpesan

Bahagian terakhir, Allah tinggalkan beberapa pesanan sebagai syarat untuk mendapat janjiNya:

“Adapun anak-anak yatim yang kalian temui, maka janganlah singgungi mereka…”

“Dan orang yang meminta, usahlah hina mereka…”

“Juga nikmat yang telah tuhan berikan, maka kenangkanlah ia dalam bicaramu…”

(ad-Dhuha: 9-11)

Supaya kita faham, untuk mendapat bantuan tuhan, kita dahulu perlu menjalankan kewajipan yang diperintahkanNya.

Kali pertama saya terpanggil untuk menghayati surah ini adalah ketika mendengar perkongsian Tok Guru Nik Aziz. Beliau kata, setiap kali membaca surah ini, seolah-olah merasa tuhan sedang berbicara dengannya. Beliau sering mengamalkan surah ini, sebagai sumber kekuatan dalam menghadapi rintangan perjuangan.

Beliau adalah bekas Menteri Besar. Beliau juga bekas Mursyidul Am PAS. Sudah tentu begitu besar beban hidup yang digalas. Kepentingan agama dan rakyat terpundak di bahunya. Maka surah inilah rahsia kekuatan insan ulung yang disayangi semua ini.

Mudah-mudahan kita juga dikurniakan kekuatan sepertinya. Walau sebesar manapun ujian yang menimpa, tetapi selagimana kita berpaut dengan kekuatan Allah yang Maha Besar, tidak ada masalah yang lebih besar dari kebesaran kuasaNya.

ALANG IBN SHUKRIMUN
11 Rejab 1442
23 Februari 2021 – HARAKAHDAILY 23/2/2021

- Advertisement -